Pengkhianat negara perlu dihukum

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

RAKYAT Malaysia jangan menjadi pengkhianat dengan menggadai kedaulatan negara dengan menjadi petualang serta dalang untuk membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI).

Minggu lalu seramai 18 penguat kuasa membabitkan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana terbabit dalam sindiket jenayah terancang penyeludupan PATI di negeri ini sejak 2017.

Sindiket yang ditumpaskan dan melibatkan pegawai penguat kuasa dari pelbagai agensi itu sudah mengaut keuntungan lebih RM60 juta hasil penyeludupan keluar dan masuk puluhan ribu warga asing sejak enam tahun lalu.

Mereka yang ditahan adalah pegawai penguat kuasa, bermakna mereka diberikan kepercayaan dan tanggungjawab untuk melaksanakan tugas oleh pihak atasan dan kini dituduh terlibat dengan sindiket jenayah.

Mereka bukan sahaja membocorkan maklumat operasi pihak berkuasa tetapi juga memainkan peranan melindungi pendatang asing.

Perbuatan seperti itu langsung tidak boleh diterima dan tidak boleh dikompromi kerana telah melakukan pengkhianatan kepada negara.

Demi mengaut keuntungan lumayan sehingga mencecah ribuan ringgit, mereka sanggup memperjudikan kedaulatan tanah air.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador telah mendedahkan terdapat beberapa anggota polis dipercayai terbabit dalam kegiatan sindiket penyeludupan PATI.

Artikel Berkaitan:

Kerana itu tidak hairanlah kegiatan jenayah membabitkan penyeludupan PATI seperti sukar dibendung.

Justeru kata Abdul Hamid, pihaknya tidak akan berkompromi dengan isu berkenaan dan tindakan tegas akan diambil bukan sahaja dalam isu penyeludupan PATI tetapi di bawah undang-undang jenayah kerana melakukan penyelewengan.

Malah, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dalam satu kenyataan turut tidak akan berkompromi dengan pegawai dan anggotanya yang terbabit dalam kesalahan serius itu.

Mereka yang didapati bersalah mesti dikenakan hukuman yang berat kerana tidak amanah sehingga menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan negara. Selagi masih ada tali barut dan pengkhianat, selagi itulah sindiket akan terus bermaharajelela.

Tindakan tidak bertanggungjawab mereka itu menjejaskan kedaulatan negara, mencemarkan Rukun Negara dan merupakan pengkhianatan yang tidak ada tolok bandingnya kepada negara. Kita harapkan pegar, tetapi pegar pula yang makan padi.

Oleh itu jangan pula ada yang marah bila rakyat mempersoalkan keberkesanan pihak berkuasa menangani isu ini atau membangkitkan unsur rasuah dalam kalangan pihak berkuasa.

Lihat saja pasar borong Selayang yang 'dijajah' oleh Myanmar, sekitar kawasan Chow Kit dan Jalan Petaling yang digelar ‘Chinatown’ sudah semakin pudar ‘kecinaannya’ kerana hampir semua gerai diuruskan warga Bangladesh, malah kedai-kedai runcit juga dikuasai oleh orang Aceh.

Siapakah yang membiarkan gejala itu berleluasa?