Sudan ulangi komitmen kerajaan, jamin keselamatan rakyat Malaysia

Keadaan di Khartoum akibat pertempuran berterusan antara tentera Sudan dan paramilitari Pasukan Sokongan Pantas (RSF) pada Selasa. - Foto EPA
Keadaan di Khartoum akibat pertempuran berterusan antara tentera Sudan dan paramilitari Pasukan Sokongan Pantas (RSF) pada Selasa. - Foto EPA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kedutaan Sudan di Malaysia mengulangi komitmen kerajaan dan pihak berkuasa negara ini dalam menjamin keselamatan dan melindungi rakyat Malaysia di Sudan serta menghormati kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Vienna untuk melindungi semua premis dan kakitangan diplomatik.

Kedutaan itu memaklumkan perkara berkenaan dalam satu kenyataan yang disediakan kepada Bernama pada Khamis.

"Kedutaan turut berterima kasih kepada rakyat dan kerajaan Malaysia atas empati dan solidariti mereka terhadap rakyat Sudan.

"Seperti titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menyeru seluruh rakyat bersama-sama mendoakan keselamatan rakyat Sudan dan kesejahteraan rakyat Malaysia yang berada di Sudan agar mereka selamat kembali ke tanah air dan keluarga mereka di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Konflik di Sudan yang melibatkan dua pihak iaitu Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF), telah mencetuskan pergolakan politik serta menggugat keselamatan di negara itu.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, hampir 300 orang terbunuh setakat Rabu akibat konflik terbabit.

Susulan itu, Seri Paduka menyarankan kerajaan bersedia untuk membawa pulang rakyat Malaysia di Sudan sekiranya konflik di negara itu bertambah tegang.

Terdahulu menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka dalam titah baginda menyeru seluruh rakyat untuk bersama baginda mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia yang berada di Sudan berikutan krisis yang berlaku di negara itu ketika ini.

"Pertempuran kini memasuki hari kelima dan tentera berjaya mengawal keadaan serta cuba mengepung RSF, yang kini diisytiharkan oleh kerajaan Sudan sebagai pasukan pemberontak dan militan yang diharamkan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu mendakwa bahawa RSF mengamalkan taktik terdesak dan tidak beretika dengan menggerakkan pasukannya di tengah-tengah Khartoum dan kawasan perumahan di bandar itu termasuk menggunakan orang awam sebagai perisai manusia, dalam usaha untuk mengehadkan kuasa tentera udara.

"Bagaimanapun, Tentera Sudan, yakin dengan keupayaannya untuk mengalahkan RSF dalam tempoh yang singkat, tetap komited kepada tatakaku profesional dan moral serta strategi pertempuran yang menumpukan pada mengurangkan korban dan kehilangan nyawa di kalangan orang awam,” menurut kenyataan itu. - Bernama