Malaysia buka pintu masuk negara, PRK Chini dalam kebiasaan baharu

Foto: 123RF
Foto: 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selepas lebih tiga bulan Malaysia menutup pintu sempadan negara bagi menghalang kemasukan warga asing, larangan tersebut mula dilonggarkan secara berperingkat dalam pasca-Covid-19 yang kini memasuki fasa pemulihan.

Memasuki hari ke-11 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kerajaan mula membuka pintu masuk negara dengan membenarkan kemasukan kumpulan ekspatriat tanpa perlu memohon kebenaran Jabatan Imigresen Malaysia.

Kebenaran diberikan kepada ekspatriat yang dalam Kategori Ep1, Pas Lawatan Profesional dan Pas Residen Kepada Golongan Berbakat yang melibatkan pengurusan tertinggi.

Selain itu, dalam pertimbangan untuk memberi kelonggaran kepada warga Singapura dan Brunei yang ingin memasuki negara ini sepertimana yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Langkah tersebut sebagai timbal balas kepada Singapura dan Brunei yang turut memberi kelonggaran kepada rakyat Malaysia untuk masuk ke negara mereka, tanpa sebarang sekatan.

Walaupun kelonggaran diberikan namun setiap daripada mereka mestilah menjalani ujian saringan koronavirus (Covid-19) di negara asal sebelum berlepas ke Malaysia atau menjalani saringan sejurus tiba di pintu masuk negara.

Langkah ini penting untuk memastikan tidak ada jangkitan Covid-19 import yang masuk ke negara ini bagi memastikan perjuangan membendung penularan wabak ini akan menemui kejayaan sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

Papan tanda yang menunjukkan jalan masuk ke Felda-Felda Chini Timur ketika tinjauan mengenai Pilihan Chini akan mengadakan Pilihan Raya Kecil pada 4 Julai, manakala penamaan calon esok (20 Jun). Foto: Bernama
Papan tanda yang menunjukkan jalan masuk ke Felda-Felda Chini Timur ketika tinjauan mengenai Pilihan Chini akan mengadakan Pilihan Raya Kecil pada 4 Julai, manakala penamaan calon esok (20 Jun). Foto: Bernama

Selain itu, hari ini juga adalah hari pencalonan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri kawasan Chini, yang mencatat sejarah kebiasaan baharu perjalanan pilihan raya di negara ini.

Antaranya yang diperkenalkan ialah penyokong parti tidak dibenarkan mengiringi calon dan hanya boleh berada 1.5 kilometer dari dewan itu bagi menjaga jarakan sosial.

Kelonggaran lain kepada calon dan parti ialah berkempen secara berceramah dengan kapasiti tidak melebihi 250 orang pada satu-satu masa dan tempat serta terhad di premis tertutup sahaja, selain hanya tiga orang dibenarkan berkempen dari rumah ke rumah dan digalakkan menggunakan platform dalam talian dan media sosial.

Semoga semua yang terbabit tidak kira calon, pengundi dan penyokong patuh kepada saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya tidak timbul kluster PRK DUN Chini pula kelak! - Bernama