SPRM KL, Mapim perkukuh pengurusan dana sumbangan

Mohamad Zakkuan (tiga kanan) menyampaikan cenderahati kepada Presiden Mapim, Mohd Azmi.
Mohamad Zakkuan (tiga kanan) menyampaikan cenderahati kepada Presiden Mapim, Mohd Azmi.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Aspek tadbir urus pengurusan dana sumbangan menjadi fokus pertemuan antara Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur yang berlangsung di ibu negara pada Isnin.

Pertemuan tersebut mencerminkan pendekatan proaktif Mapim dalam memastikan sistem pengurusan kewangan dan perolehan organisasi sentiasa berada pada tahap terbaik serta selari dengan prinsip tatakelola baik.

Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib berkata, SPRM bukan sekadar badan penyiasatan, sebaliknya turut berperanan sebagai penggerak pendidikan dan pencegahan antirasuah yang komprehensif.

"Mapim sebagai institusi yang menguruskan dana awam atau menerima sumbangan dalam jumlah besar dan berterusan, berdepan risiko penyalahgunaan kuasa atau konflik kepentingan sekiranya kawalan dalaman tidak diperkukuh," katanya.

Mohamad Zakkuan berkata, kelemahan sistem kawalan dalaman boleh membuka ruang kepada penyalahgunaan sumber dana, termasuk risiko nepotisme atau konflik kepentingan dalam urusan perolehan dan pelaksanaan projek.

“Situasi ini berpotensi menjejaskan reputasi institusi serta menghakis keyakinan awam terhadap tahap keadilan dan ketelusan pengurusannya,” katanya.

Turut hadir dalam majlis pertemuan itu, Presiden Mapim, Mohd Azmi Abd Hamid.

Dalam pertemuan itu, SPRM Kuala Lumpur menggariskan keperluan pelaksanaan mekanisme kawalan dalaman yang mantap seperti prinsip semak dan imbang, pengasingan tugas serta keperluan kelulusan peringkat lembaga atau jawatankuasa yang bebas sebelum sesuatu keputusan kewangan dan perolehan dimuktamadkan.

Mohamad Zakkuan berkata, pendekatan itu bertujuan menutup ruang dan peluang berlakunya rasuah serta penyelewengan secara sistemik.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Azmi berkata, pihaknya berhasrat untuk mendapatkan bantuan dan bimbingan SPRM dalam memperluaskan kesedaran antirasuah dalam kalangan pengurusan serta warga kerja Mapim.

"Mapim memperoleh sumber pendapatannya merangkumi pembiayaan, kempen sumbangan awam serta peruntukan daripada kerajaan, agensi, sektor korporat dan kerjasama dengan Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

“Pengukuhan tatakelola pengurusan dana sumbangan adalah langkah penting bagi memastikan sistem dalaman diperkemas demi menjaga kepercayaan masyarakat serta memastikan setiap amanah yang diterima diurus dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • Aspek tadbir urus pengurusan dana sumbangan menjadi fokus pertemuan Mapim dan SPRM di Kuala Lumpur
  • Mapim proaktif memastikan sistem pengurusan kewangan dan perolehan sentiasa berada pada tahap terbaik
  • SPRM berperanan sebagai penggerak pendidikan dan pencegahan antirasuah
  • Kawalan dalaman yang lemah boleh membawa kepada penyalahgunaan dana dan konflik kepentingan
  • Pengukuhan tatakelola pengurusan dana sumbangan penting untuk menjaga kepercayaan masyarakat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!