Jerman berdepan gelombang baharu jangkitan Covid-19

Pemilik Tonnies mendakwa pekerja asing dipercayai membawa virus tersebut hingga menyebabkan ia menjangkiti 650 pekerja di kemudahan tersebut. - Foto Agensi
Pemilik Tonnies mendakwa pekerja asing dipercayai membawa virus tersebut hingga menyebabkan ia menjangkiti 650 pekerja di kemudahan tersebut. - Foto Agensi
A
A
A

BERLIN - Jerman bergelut untuk membendung gelombang baharu penularan koronavirus (Covid-19) selepas 650 pekerja di sebuah rumah penyembelihan di negeri barat North Rhine-Westphalia disahkan positif wabak tersebut.

Susulan kes jangkitan baharu dikenal pasti, syarikat Toennies yang memiliki kemudahan pemprosesan daging di Guetersloh yang terletak antara Dortmund dan Hanover bertindak menutup sementara operasi kilang premis itu bermula semalam.

Pengarah Pengurusan Kualiti dan Perkhidmatan Veterinar di kemudahan itu, Gereon Schulze Althoff berkata, mereka mempunyai sejumlah pekerja asing yang mungkin membawa virus tersebut.

Menurutnya, pekerja terbabit dan kebajikan mereka adalah keutamaan syarikat itu.

Beliau bagaimanapun mengakui langkah penjarakan sosial sukar dilaksanakan di premis terbabit.

"Kemudahan kami tidak dibina untuk situasi ketika berdepan pandemik," katanya dalam satu sidang media.

Sebagai langkah berjaga-jaga, kerajaan tempatan telah menutup kesemua pusat jagaan harian dan sekolah di Guetersloh bermula hari ini, namun tidak mengenakan 'lockdown' secara umum.

"Daerah Guetersloh telah melepasi paras kritikal 50 jangkitan baharu untuk setiap 100,000 penduduk dalam tempoh tujuh hari," jelas pasukan krisis di bandar itu dalam satu kenyataan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Canselor Angela Merkel mengumumkan larangan mengadakan perhimpunan akan dilanjutkan sehingga akhir Oktober depan.

Jerman dikatakan berjaya memerangi Covid-19 berbanding negara Eropah lain dan negara dengan populasi penduduk 83 juta orang itu telah merekodkan 188,604 kes jangkitan dan 8,868 kematian. - Agensi