KPDNHEP WPKL keluar 32 notis kepada pengusaha kedai gunting rambut

Anggota penguatkuasa KPDNHEP WPKL giat melakukan pemantauan terhadap pengusaha kedai gunting rambut.
Anggota penguatkuasa KPDNHEP WPKL giat melakukan pemantauan terhadap pengusaha kedai gunting rambut.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) telah mengeluarkan sebanyak 32 notis kepada pengusaha kedai gunting rambut sejak pemantauan dijalankan pada 10 Jun lalu.

Difahamkan, sehingga semalam, sebanyak 16 Notis Pengesahan Harga Jualan serta Kos dan 16 Notis bertulis telah dikeluarkan oleh pegawai penguatkuasa agensi itu.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP WPKL, Azeem Nazuri berkata, peniaga atau pengusaha kedai gunting rambut terlibat diberikan tempoh selama tiga hari untuk memberikan maklum balas dari tarikh notis diterima.

"Sehingga kini, sebanyak lima Notis Pengesahan Harga Jualan serta Kos dan lima notis bertulis telah diterima untuk dianalisa oleh pihak kami," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azeem berkata, notis dikeluarkan bagi memastikan peniaga memberikan maklumat berhubung kos jualan agar pihak KPDNHEP dapat memantau sebarang kenaikan tidak munasabah yang dikenakan kepada pelanggan.

Beliau berkata, peniaga diingatkan agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga perkhidmatan gunting rambut, dandanan serta perkhidmatan kecantikan sesuka hati.

"Peniaga terlibat juga dikehendaki meletakkan tanda harga sepertimana yang diperuntukkan undang-undang.

"KPDNHEP serius dan mengambil berat dalam membanteras isu-isu berkaitan kenaikan harga barang bagi menggelakkan peniaga mengaut keuntungan berlebihan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, orang ramai juga disaran membuat aduan kepada KPDNHEP menggunakan platform yang disediakan sekiranya mendapati ada peniaga cuba mengambil kesempatan dengan menaikkan harga secara tidak munasabah.