AMK tolak Dr Mahathir calon Perdana Menteri

Akmal Nasrullah
Akmal Nasrullah
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini membuat keputusan untuk tidak menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) buat kali kedua.

Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, memang benar, jika dibiarkan Perikatan Nasional (PN) berkuasa, maka keadaan akan terus bertambah mudarat, tetapi sudah-sudahlah dengan kaedah memilih kejahatan dari kalangan jahat-jahat ‘lesser than two evils’.

“Semalam, DAP melalui Anthony Loke telah menyatakan secara terbuka mengenai kesediaan untuk menyokong bekas Perdana Menteri itu sekali lagi sebagai calon Perdana Menteri PH.

ARTIKEL BERKAITAN:Tidak adil paksa Anwar terima Tun M calon PM ke-9, kata Nik Nazmi

DAP sokong Dr Mahathir jadi PM, Anwar TPM

Tidak penting siapa PM, selamatkan negara jadi keutamaan: Amanah

Tujuh risiko jika Tun M jadi calon PM Pakatan Harapan

“Maaf, saya dan rakan-rakan AMK tidak bersetuju. Saya percaya pendirian kami ini mewakili suara akar umbi Keadilan dan pendokong PH,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, DAP membuat keputusan untuk menyokong bekas Perdana Menteri itu sebagai calon Perdana Menteri PH sementara Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai timbalannya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke, parti itu sudah membuat keputusan dan mahu PKR untuk membuat keputusan dengan segera bagi menyatakan sama ada parti itu bersetuju atau tidak dengan cadangan tersebut.

Dalam pada itu, Akmal mempersoalkan adakah rakan sekutu dalam PH yakin bahawa lima bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu akan menyokong PH dan bukannya menggadaikan sokongan buat kali kedua.

Menurutnya, kewajaran PH untuk membentuk kerajaan adalah untuk membawa perubahan ke arah kebaikan dan membela rakyat kebanyakan dan bukannya dibelenggu dengan ketidaktentuan atau polemik yang berpanjangan.

“Ingatlah, kejatuhan kerajaan PH tidak akan berlaku sekiranya Perdana Menteri ketika itu tidak meletakkan jawatan tanpa perbincangan dengan PH.

“Kita bukan tidak sedar, pintu belakang sebenarnya dibuka jauh lebih awal yang mana mandat rakyat telah dikhianati dan dipijak begitu sahaja,” katanya.

Akmal berkata, sebagai contoh, PKR tidak pernah mencadangkan bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan kartelnya untuk dilantik sebagai menteri, tetapi beliau diangkat juga dan tubuh kabinet ikut seleranya.

“Dasar pecah perintah sebegini rupa menyebabkan habis porak-peranda parti. Sampai sekarang, tindakan Azmin dengan 'Langkah Sheratonnya' langsung tidak dikecam,” katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Johor Bharu.