Tidak penting siapa PM, selamatkan negara jadi keutamaan: Amanah

Hasanuddin Mohd Yunos
Hasanuddin Mohd Yunos
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Hasanuddin Mohd Yunos menegaskan perkiraan siapa akan menjadi Perdana Menteri sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim atau masih Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menjadi kepentingan bagi pemimpin parti tersebut.

Hasanuddin berkata, agenda menyelamatkan negara lebih penting berbanding menentukan siapa akan menjadi Perdana Menteri kesembilan.

Beliau berkeyakinan bahawa semua pimpinan Pakatan Harapan (PH) cuba sedaya upaya agar kesepakatan itu akan tercapai demi membebaskan negara ini dari cengkaman Perikatan Nasional.

"Jadi katakanlah keputusan memihak kepada Tun Dr Mahathir itu sudah tentu ada rasional yang tersendiri dan kalau memihak kepada Datuk Seri Anwar tentu kami juga ada rasionalnya yang tersendiri.

"Yang penting fokus untuk menyelamatkan negara daripada kembali rosak. Kami tidak memperjuang atas peribadi sesiapa. Kami ada prinsip dan dasar sesuai kepada sesiapa sahaja yang dipilih," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau mengulas mengenai satu mesyuarat bersama pimpinan PH Plus berlangsung di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) kira-kira tiga jam Selasa lalu dipengerusikan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada mesyuarat berkenaan, panel utama lain terdiri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad, Lim Guan Eng, Muhamad Sabu dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, selain kepimpinan tertinggi setiap parti terlibat.

Perbincangan secara menyeluruh tentang pendirian setiap parti dalam soal mendapatkan semula mandat rakyat menjadi agenda utama. Dilaporkan perbincangan tersebut menampakkan kemajuan positif.

Artikel Berkaitan:

Namun, tiada kata putus diumumkan pada mesyuarat itu. Segala keputusan hanya dimuktamadkan dalam masa seminggu sekali gus menimbulkan spekulasi ia sebagai strategi atau satu kebuntuan.

Mengulas lanjut, Hasanuddin yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat itu berkata, Amanah telah memberi mandat kepada Presidennya, Mohamad Sabu dan wakil parti yang berada dalam Majlis Presiden.

Menurutnya, mandat yang diberikan itu cukup jelas iaitu parti itu tidak memperjuangkan mana-mana peribadi tetapi berjuang dengan strategi yang boleh menyelamatkan negara daripada kembali rosak.

"Pakatan Harapan juga tidak ketandusan calon Perdana Menteri selain Tun Dr Mahathir atau Datuk Seri Anwar kerana mempunyai ramai tokoh yang lain. Namun, persoalannya adakah ia sesuai dengan strategi hari ini.

"Oleh itu, pemilihan dibuat perlu sesuai berdasarkan strategi yang ada untuk mendapatkan semula (sokongan) 130 orang (ahli Parlimen) sebagaimana yang ada pada beberapa minggu lepas," katanya.

Bagaimanapun, katanya, Amanah tidak lupa dengan perjanjian yang dibuat sebelum ini iaitu bagi jawatan Perdana Menteri selepas Tun Dr Mahathir Mohamad ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Itu janji kita dan kita juga bersedia untuk kotakan, tetapi ia tertakluk kepada strategi dan juga elemen-elemen pemboleh ubah di sekeliling kita," katanya.