Penemuan kubur besar, Itali gesa siasatan adil

Lebih 150 mayat termasuk wanita dan kanak-kanak ditemukan di kubur besar itu.
Lebih 150 mayat termasuk wanita dan kanak-kanak ditemukan di kubur besar itu.
A
A
A

ROM - Itali semalam menggesa siasatan yang 'bebas dan adil' dibuat untuk mengesan serta menghukum mereka yang bertanggungjawab, susulan penemuan kubur besar di bandar Tarhuna di Libya baru-baru ini, lapor agensi berita Anadolu.

Menurut data dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 150 mayat termasuk wanita dan kanak-kanak ditemukan di kubur besar itu.

Bandar itu merupakan kubu terakhir di Libya barat yang dikuasai militia yang setia kepada jeneral Khalifa Haftar sebelum ditawan semula pada awal Jun oleh tentera kerajaan.

"Kerajaan Itali terkejut dengan penemuan itu," menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dan Perwakilan Tinggi Kesatuan Eropah (EU) Josep Borrell turut mengemukakan gesaan sama agar siasatan bebas dan adil dijalankan.

Itali juga meminta semua pihak yang terlibat dalam konflik di Libya untuk menghormati sepenuhnya hak asasi manusia dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Kerajaan Libya yang diiktiraf antarabangsa, berpangkalan di Tripoli diserang pasukan Haftar sejak April 2019, menyaksikan lebih 1,000 orang terbunuh.

Berikutan itu, kerajaan melancarkan Operasi Peace Storm pada Mac sebagai serangan balas untuk merampas semula lokasi strategik, termasuk pangkalan udara Al-Watiya dan Tarhuna. - Bernama

Artikel Berkaitan: