Cubaan seludup ketum, dadah di Langkawi tumpas

Dua lelaki ditahan bersama rampasan ketum, dadah bernilai RM67,120. FOTO: FB Pasukan Polis Marin Langkawi
Dua lelaki ditahan bersama rampasan ketum, dadah bernilai RM67,120. FOTO: FB Pasukan Polis Marin Langkawi
A
A
A

LANGKAWI - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Langkawi menahan dua lelaki dan merampas 100 kilogram (kg) daun ketum serta dadah jenis heroin seberat 43.1 gram dalam satu serbuan di Jeti Marble, di sini semalam.

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Satu Langkawi, Deputi Superintendan Rohizan Mohamad Saaid berkata, tangkapan dan rampasan pada jam 2 pagi itu dilakukan sepasukan anggota ketika melaksanakan penugasan Op Benteng Covid.

Beliau berkata, terdahulu semasa melaksanakan penugasan itu, anggota PPM Wilayah Satu mengesan sebuah MPV jenis Perodua Alza yang dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di kawasan parkir kereta di lokasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut, anggota PPM Wilayah Satu telah menjumpai dua bungkusan plastik berisi serbuk ketulan warna putih disyaki dadah jenis heroin seberat 43.1 gram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ia kemudiannya membawa kepada pemeriksaan lanjut ke atas sebuah bot jenis fiber berwarna biru di Jeti Marble yang ada kaitan dengan kedua lelaki berkenaan dan pihaknya menemui 13 bungkusan plastik berwarna hitam berisi daun ketum seberat 100kg.

Rohizan berkata, kedua-dua lelaki berusia 37 tahun itu dibawa ke Markas Operasi PPM Wilayah Satu Langkawi bersama barangan rampasan seperti daun ketum, heroin, sebuah MPV jenis Perodua Alza, bot fiber serta wang tunai untuk siasatan lanjut.

“Barangan rampasan dianggarkan bernilai RM67,120.

"Hasil ujian saringan, kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan Mop, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Penagihan Dadah 1952 dan Akta Racun 1952," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: