Lebih 90 peratus kakitangan KKM tidak setuju sistem syif baharu

Pihak KKM seharusnya menangani masalah kekurangan tenaga kerja dan keperluan infrastruktur terlebih dahulu sebelum melaksanakan sistem syif di klinik-klinik kesihatan.
Pihak KKM seharusnya menangani masalah kekurangan tenaga kerja dan keperluan infrastruktur terlebih dahulu sebelum melaksanakan sistem syif di klinik-klinik kesihatan.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 92 peratus daripada 9,320 kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari pelbagai kategori didapati tidak bersetuju dengan pelaksanaan sistem syif baharu secara berperingkat yang dilaksanakan di semua klinik kerajaan bermula semalam.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr N Ganabaskaran berkata, maklum balas tersebut diperoleh hasil tinjauan pihaknya baru-baru ini yang dibuat di klinik kerajaan (klinik kesihatan) mengenai rancangan peralihan sistem syif baharu.

Beliau berkata, rata-rata kakitangan menyatakan pihak KKM seharusnya menangani masalah kekurangan staf dan keperluan infrastruktur terlebih dahulu sebelum melaksanakan sistem syif itu kerana klinik-klinik kerajaan kini sedang berdepan dengan masalah kekurangan tenaga kerja serta beban kerja yang banyak.

Menurutnya, 84 peratus daripada mereka menyatakan beban kerja semasa akan meningkat, sementara 89 peratus menyatakan ia akan meningkatkan tekanan berkaitan kerja di mana akhirnya akan menjurus kepada 'burnout'.

"Dalam tinjauan lain yang dilakukan secara dalam talian oleh Kesihatan Awam Malaysia (Public Health Malaysia), 63 peratus daripada responden memilih untuk menentang pelaksanaan sistem ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, sistem syif hanya akan berfungsi sekiranya kerajaan dapat menangani masalah kekurangan tenaga kerja dan isu keperluan infrastruktur.

Katanya, di bawah dua sistem syif yang baharu itu, kekurangan tenaga pekerja akan mengakibatkan lebih sedikit pekerja kesihatan yang dapat bertugas dalam satu-satu syif.

"Klinik-klinik kerajaan terlalu sesak, ada waktu puncak di mana kekurangan kakitangan akan mengganggu struktur sistem serta kualiti perkhidmatan yang diberikan.

Artikel Berkaitan:

"Semua klinik kesihatan KKM kini beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang (Isnin hingga Jumaat) dan dengan pelaksanaan sistem syif untuk mengatasi masalah kesesakan, kita akan dapat lihat waktu operasi klinik akan dipanjangkan sehingga jam 9.30 malam," katanya.

Ganabaskaran berkata, klinik kesihatan di negara ini beroperasi sebagai one-stop-centre yang menyediakan rawatan antaranya rawatan pesakit luar, rawatan untuk penyakit kronik, rawatan kesihatan ibu dan anak, perkhidmatan pemulihan, perkhidmatan perundingan pemakanan, kaunseling pemakanan, perkhidmatan fisioterapi, perkhidmatan terapi pekerjaan, kes kecemasan, perkhidmatan prakehamilan, perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan perkhidmatan metadon.

Selain daripada perkhidmatan diagnostik dan terapi katanya, pekerja kesihatan di klinik juga terlibat dalam saringan dan pencarian kontak bagi kes koronavirus (Covid-19) serta dalam program penjagaan tempat tinggal dan program khidmat masyarakat (community outreach).

"Dengan pelaksanaan sistem syif ini, adalah mustahil untuk meneruskan perkhidmatan rawatan yang diberikan kini.

"Kami mengalu-alukan pembaharuan dalam sistem penjagaan kesihatan tetapi perkara-perkara ini harus dipertimbangkan dan satu kajian teliti mengenai sistem syif baharu harus dilakukan dengan penglibatan pihak berkepentingan sebelum melaksanakan sistem tersebut," katanya.

Ganabaskaran berkata, MMA mengambil maklum berhubung jaminan yang diberikan oleh pihak KKM semalam untuk meneliti isu-isu tersebut tetapi berharap masalah tenaga kerja dan keperluan infrastruktur diselesaikan terlebih dahulu tanpa menjejaskan kesejahteraan pekerja kesihatan.