Rakyat digalak ceburi pertanian bandar

Dr Ronald Kiandee ketika hadir pada tinjauan mesra Projek Pertanian Bandar Komuniti Perumahan Awam Seri Perlis 2 Keramat hari ini.
Dr Ronald Kiandee ketika hadir pada tinjauan mesra Projek Pertanian Bandar Komuniti Perumahan Awam Seri Perlis 2 Keramat hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menyasarkan peruntukan RM10 juta di bawah Pakej Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) akan memanfaatkan 800 komuniti dan 12,000 penyertaan individu baharu dalam program pertanian bandar.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kementerian akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak berkaitan untuk menggerakkan lebih ramai menyertai program itu.

Beliau berkata, golongan B40 terutama di Projek Perumahan Rakyat (PPR) digalakkan menyertai program itu secara berkumpulan dengan mengusahakan tanaman jangka pendek terutama sayur-sayuran.

“Saya berharap kejayaan yang dicapai Komuniti Perumahan Awam Perlis 2, Kampung Datuk Keramat ini akan menjadi pendorong kepada komuniti lain untuk menceburi perusahaan tanaman sayuran secara kecil-kecilan...bukan sahaja untuk kegunaan sendiri tapi juga untuk dijual di pasar,” katanya.

Kiandee berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau projek pertanian bandar di Perumahan Awam Seri Perlis 2 di sini hari ini.

Beliau turut menyampaikan bantuan RM50,000 di bawah Penjana serta sumbangan sarang kelulut daripada Jabatan Pertanian bagi komuniti itu.

Melalui Penjana, kerajaan menawarkan pakej sumbangan barangan dalam bentuk bantuan input pertanian seperti benih, baja, infrastruktur, peralatan, khidmat nasihat dan latihan kepada individu dengan nilai RM500 (maksimum) dan RM50,000 (maksimum) bagi setiap komuniti.

Sejak 2014 sehingga kini, seramai 124,988 orang termasuk dari sekolah, institusi, individu dan komuniti di 5,065 lokasi seluruh negara telah terlibat dalam program pertanian bandar.

Artikel Berkaitan:

Seorang daripada peserta program itu, Hamidah Ibrahim, 69, yang mengusahakan tanaman bayam brazil dan pegaga berkata, pada mulanya dia mengeluarkan modal sendiri dan terpaksa berdepan dengan risiko penyakit menyebabkan ada tanaman yang tidak menjadi.

“Namun selepas mendapat bimbingan daripada Jabatan Pertanian, hasil tanaman telah menampakkan kejayaan dan telah dapat digunakan komuniti serta juga dijual di pasar sekali gus dapat menjimatkan perbelanjaan barangan dapur,” katanya.- Bernama