Padah simpan barang kawalan melebihi stok

Sebuah pasar raya di Setiawangsa, Kuala Lumpur, semalam dikenakan tindakan selepas disyaki menyimpan barang kawalan melebihi stok.
Sebuah pasar raya di Setiawangsa, Kuala Lumpur, semalam dikenakan tindakan selepas disyaki menyimpan barang kawalan melebihi stok.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah pasar raya dikenakan tindakan kerana disyaki memiliki barang kawalan berjadual melebihi stok selain gagal menyelenggara buku stok di Setiawangsa di sini semalam.

Kesalahan itu dikesan susulan operasi yang diketuai Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur, Ariffin Samsuddin kira-kira jam 10 pagi bersama tujuh pegawainya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Peraturan 21 (1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 serta Peraturan 13(1) Perintah-perintah Kawalan Bekalan 1974.

"Susulan itu, kita telah menyita 1,767 kilogram (kg) minyak masak, 2,538 kg tepung gandum dan 1,397 kg gula dengan nilai sitaan sebanyak RM50,743.40.

"Pemeriksaan mengejut ini juga dilakukan bagi menilai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ke atas pasar raya tersebut yang telah diluluskan beroperasi 24 Jam oleh Pusat Pengurusan Krisis (CMC) Kuala Lumpur pada 12 Jun lalu," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Ariffin berkata, semua pasar raya dan premis perniagaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga diminta untuk mematuhi keputusan CMC Kuala Lumpur untuk menggunakan aplikasi My Sejahtera bagi urusan pendaftaran kemasukan pelanggan ke dalam premis.

Katanya, kegagalan mematuhi SOP boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 342 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Dalam pada itu, sehingga 15 Jun, sebanyak 3,655 premis telah diperiksa oleh KPDNHEP Kuala Lumpur bagi tujuan pemantauan pelaksanaan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Artikel Berkaitan:

"Kementerian menerusi Bahagian Penguatkuasa memberi amaran keras dan peringatan kepada mana-mana individu mahupun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang khususnya melibatkan barang kawalan berjadual dan juga mematuhi SOP peruncitan seperti mana yang ditetapkan," katanya.