Covid-19: Selangor bebas zon merah

Maklumat dikongsikan STFC di Facebooknya mengenai situasi kes Covid-19 di Selangor.
Maklumat dikongsikan STFC di Facebooknya mengenai situasi kes Covid-19 di Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - Selangor kembali bebas daripada zon merah kes aktif wabak koronavirus (Covid-19) apabila daerah Hulu Langat yang sebelum ini ditakrif sebagai zon merah kini menjadi zon kuning.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menerusi info grafik yang dikongsikan di Facebooknya memaklumkan, Hulu Langat yang sebelum ini merekod 62 kes aktif kini hanya tinggal 11 kes.

“Berita baik! Kes sembuh yang tinggi menjadikan mukim Semenyih bertambah baik ke zon kuning dan mukim Cheras pula bersih dari kes aktif untuk menjadi zon hijau. Ini sekali gus mengeluarkan daerah Hulu Langat dari zon merah ke zon kuning.

“Dengan perkembangan positif ini, daerah Selangor kini kembali bebas dari zon merah sejak kali terakhir iaitu 23 hari lepas. Tahniah warga Selangor!,” menurut kenyataan itu.

STF dalam pada itu turut mengingatkan orang ramai supaya terus mematuhi amalan normal baharu.

“Patuhi normal baharu dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Jangan bagi ruang Covid-19 untuk merebak semula, kita mesti menang!” menurut kenyataan itu lagi.

Setakat semalam, Selangor merekod dua kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan yang dijangkiti Covid-19 sebanyak 1,996 kes.

Seramai 1,793 pesakit dilapor telah sembuh manakala 63 kes masih aktif.

Artikel Berkaitan:

Selangor mencatat sebanyak 24 kematian akibat dijangkiti Covid-19, tiada daerah yang ditakrif sebagai zon hijau setakat semalam.