Laporan agihan kerusi PRU15 PN di Kelantan palsu

Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari.
Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari.
A
A
A

PASIR MAS - Satu laporan sulit berkaitan agihan kerusi Pilihan Raya Umum 15 (PRU15) gabungan Perikatan Nasional (PN) di Kelantan antara Pas, Barisan Nasional (BN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang tular menerusi aplikasi WhatsApp adalah palsu.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau tidak menolak kemungkinan mesej itu merupakan salah satu bentuk 'perang saraf' yang sengaja diwujudkan oleh pakatan pembangkang untuk menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pejuang parti.

"Untuk maklumat jawatan Yang Dipertua Pas Kelantan tidak wujud sebagaimana ditulis dalam mesej yang tular itu," katanya kepada Sinar Harian selepas diminta mengulas perkara tersebut.

Semalam tular satu mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang mendakwa agihan kerusi antara parti gabungan dalam PN khususnya di Kelantan sudah selesai.

Antara isi yang terkandung dalam mesej itu ialah Pas akan bertanding di lima kerusi Parlimen antaranya Kota Bharu, Pengkalan Chepa, Kubang Kerian, Bachok dan Pasir Puteh.

BN pula di Tumpat, Pasir Mas, Rantau Panjang, Kuala Krai dan Gua Musang.

Sementara Bersatu di kerusi Ketereh, Machang, Tanah Merah dan Jeli.

Untuk kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pas akan bertanding di 20 kawasan iaitu Chempaka, Panchor, Bunut Payong, Tanjung Mas, Demit, Pasir Tumboh, Pasir Pekan, Wakaf Baru, Pantai irama, Tawang, Meranti, Pengkalan Pasir, Kemahang, Kadok, Limbongan, Selising, Kelaboran, Kijang, Mengkebang dan Manek Urai.

Artikel Berkaitan:

Manakala 15 kerusi pula diperuntukkan untuk BN iaitu Kota Lama, Kijang, Pengkalan Kubor, Bukit Panau, Kok Lanas, Galas, Kuala Balah, Semerak, Salor, Gual Periok, Nenggiri, Apam Putra, Jelawat, Pulai Chondong dan Bukit Bunga.

Baki selebihnya milik Bersatu iaitu Gual Ipoh, Air Lanas, Melor, Gaal, Tendong, Chetok, Dabong, Paloh, Kemuning dan Guchil.

Ahli Parlimen Pasir itu menasihatkan kepada pihak berkenaan supaya tidak 'galak' dan gelojoh menyebarkan berita palsu berhubung perkara tersebut.

Katanya, rakyat hari ini sudah bijak untuk menilai kandungan kesahihan satu-satu berita yang ingin disampaikan.

"Malulah sikit kepada generasi muda kerana mereka hari ini celik teknologi maklumat untuk menilai kandungan berita," katanya.