Kerajaan digesa tangani isu pemberhentian kerja syarikat penerbangan

Laporan Sinar Harian bertajuk, 172 juruterbang, 111 kru, 50 jurutera bakal diberhentikan AirAsia.
Laporan Sinar Harian bertajuk, 172 juruterbang, 111 kru, 50 jurutera bakal diberhentikan AirAsia.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa campur tangan bagi menangani isu pemberhentian kerja oleh beberapa syarikat penerbangan negara.

Setiausaha Kesatuan Persekutuan, International Transport Workers (ITF) - Rangkaian Malaysia, A Balasubramaniam berkata, pihaknya melihat pemberhentian pekerja adalah langkah terakhir dalam penstrukturan sesebuah organisasi.

Menurutnya, syarikat harus mencari jalan lain yang lebih selamat supaya mata pencarian beratus-ratus pekerja dapat diselamatkan.

Beliau berkata, pengumuman pemberhentian pekerja oleh syarikat-syarikat terlibat juga amat mendukacitakan dan akan memberi kesan kepada semua pihak terutamanya bagi pekerja-pekerja terlibat termasuk ahli keluarga mereka.

"Tindakan yang drastik ini juga akan memberi kesan yang ketara kepada sektor penerbangan.

"Malah pekerja-pekerja ini yang telah melalui pengkhususan kerja dalam bidang penerbangan akan menghadapi pelbagai masalah untuk mendapat kerja baharu dengan segera," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 172 juruterbang, 111 kru, 50 jurutera bakal diberhentikan AirAsia

Sebelum ini, dilaporkan lebih 300 pekerja AirAsia Bhd bakal dihentikan perkhidmatan mereka oleh syarikat penerbangan tambang murah itu dalam usaha pengecilan operasi susulan daripada situasi sukar akibat wabak koronavirus (Covid-19).

Artikel Berkaitan:

Memetik laporan media, pemberhentian yang diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Riad Asmat dalam satu sesi taklimat dalaman baru-baru ini, dijangka membabitkan 111 kru kabin daripada 1,900 kru, 172 juruterbang dan 50 jurutera.

Dalam pada itu, Balasubramaniam berkata, pekerja-pekerja yang diberhentikan juga perlu melalui proses latihan dan kemahiran bagi memahirkan diri dalam bidang baharu.

"Oleh yang demikian, Kesatuan Persekutuan, International Transport workers-Rangkaian Malaysia yang mewakili 11 kesatuan dalam sektor pengangkutan peringkat Antarabangsa menerusi satu mesyuarat persidangan video dalam talian baru-baru ini bersetuju sebulat suara menggesa kerajaan campur tangan dan memberi tumpuan yang serius dalam perkara ini.

"Semua pihak yang terlibat perlu mengadakan pertemuan segera dan membincangkan langkah yang harus diambil bagi mengekalkan pekerja-pekerja ini," katanya.

ITF beribu pejabat di London dan mempunyai 700 lebih kesatuan daripada sektor pengangkutan yang terdiri 150 negara dengan keahlian seramai 20 juta orang.