Peluang masyarakat bukan Islam dekati masjid

A
A
A

TELUK INTAN - Hari terbuka masjid yang dianjurkan Pertubuhan Ikram Cawangan Teluk Intan, memberi peluang kepada masyarakat bukan Islam melawat masjid serta memahami ajaran Islam.

Yang Dipertua Ikram Teluk Intan, Shamsul Bahrain Hashim berkata, hari terbuka berkenaan diadakan di Masjid Daerah Sultan Idris 2, di sini, baru-baru ini dengan pelbagai aktiviti dianjurkan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat, kaum serta agama.

"Program ini bertujuan untuk mengukuhkan persefahaman antara penganut agama di mana kami menjemput penganut agama lain melawat masjid dan memahami Islam.

"Sekiranya pada masa akan datang berlakunya apa-apa yang boleh menimbulkan salah faham kita boleh lebih bersefahaman untuk menanggani masalah itu dan ia amat membantu dalam keharmonian beragama," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menurut Shamsul Bahrain, program berkenaan merupakan kerjasama antara Ikram Teluk Intan bersama Hidayah Centre Foundation dan Masjid Daerah Sultan Idris 2, Teluk Intan.

"Kami turut mengundang pemimpin dari pelbagai agama untuk melawat masjid bagi memahami ibadat serta ritual keagamaan yang dilakukan oleh Muslim disamping mengukuhkan komunikasi antara agama serta mempromosikan keharmonian.

"Selaku penganjur kami berharap aktiviti seumpama ini akan meningkatkan kesedaran komuniti setempat tentang Islam serta mewujudkan keharmonian hidup bermasyarakat di Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan: