Abdul Hadi sifatkan keadaan didominasi bukan Islam paling bahaya

Abdul Hadi - Foto Bernama
Abdul Hadi - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan keadaan rakyat Malaysia kini berada dalam situasi paling berbahaya kerana negara diperintah oleh golongan yang mendapat pengaruh bukan Islam.

Menurutnya, keadaan itu berlaku apabila masyarakat berpecah, sehingga dikuasai oleh kerajaan yang didominasi oleh bukan Islam susulan ramai umat Islam yang tidak keluar mengundi.

“Umat Islam dalam kedudukan yang sangat lemah untuk melaksanakan kewajipan amar ma‘ruf dan nahi munkar yang menjadi tonggak penting kepada kedaulatan Islam.

“Kegagalan untuk melaksanakan kewajipan ini pernah membawa akibat yang buruk terhadap Bani Israil,” katanya dalam siaran di Facebooknya pada Khamis.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, negara kini menghadapi kejahilan dalam kalangan penganut Islam yang salah faham terhadap ajaran Islam yang sempurna.

“Mereka berpendapat bahawa tidak wajib mengundi, alasannya kerana tidak terdapat nas daripada al-Quran dan ia tidak diamalkan pada zaman Rasulullah SAW.

“Katanya amalan demokrasi berasal daripada Barat, bukan daripada Islam. Lalu mereka tidak peduli untuk pergi mengundi tanpa mereka menyedari akibat tidak mengundi,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Marang itu berkata, mereka yang tidak turun mengundi seakan-akan menyerah diri kepada musuh untuk sama-sama mendapat kehinaan dunia sebelum mendapat kehinaan di akhirat kerana tidak menunaikan kewajipan yang besar dalam Islam.

“Janganlah memikul dosa yang menghilangkan kedaulatan Islam apabila Islam tidak mempunyai kuasa (politik) memerintah negara, dan hukum Islam dihilangkan satu demi satu. Adapun mereka masih meneruskan dasar sekularisme warisan penjajah, di bawah payung Malaysian Malaysia yang menghapuskan peranan bangsa yang menganut Islam.

“Kita sedang menyaksikan kerajaan campuran daripada kalangan mereka yang tidak beriman dan tidak berakhlak, terdiri daripada banduan, perasuah, dan penipu yang tidak beraqidah dan tidak berakhlak, dikelilingi pula oleh syaitan-syaitan bisu yang mendiamkan diri terhadap kemungkaran yang berlaku di hadapan mereka.

“Hal ini berlaku akibat daripada meninggalkan kewajipan memilih pemimpin yang beriman dan berakhlak. Berilmu sahaja tidak mencukupi sekiranya tidak bertafaqquh, tidak beriman dan tidak berakhlak,” jelasnya.