X

Kindly register in order to view this article
!

'Syukur ALLAH masih panjangkan nyawa'

Muhammad Jelani (kiri) dan Muhammad Raihan menunjukkan sauk kerang digunakan dalam kejadian terbabit.
A
A

SUNGAI BESAR - Seorang remaja terpaksa berpaut pada sampan untuk terapung di laut selepas cuba menyelamatkan abangnya yang terjatuh di Muara Sungai Haji Dorani di sini semalam.

Bagaimanapun, Muhammad Raihan Muhammad Jelani,16, terselamat dalam kejadian itu manakala abangnya, Muhammad Rasul,23, ditemui lemas dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi semalam.

Menceritakan detik cemas itu, Muhammad Raihan berkata, dia bersyukur masih terselamat dalam kejadian itu, namun sedih kejadian meragut nyawa abangnya dalam sekelip mata.

"Pada waktu kami keluar mencari kerang, kebetulan angin kencang serta laut bergelora menyebabkan sampan kami naiki bergoyang sebelum abang tiba-tiba terjatuh dari sampan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Muhammad Raihan berkata, dia yang terkejut dengan kejadian itu tiba-tiba panik dan terjun ke laut cuba menyelamatkan Muhammad Rasul.

"Tangan kanan saya sempat mencapai tangan abang, manakala tangan kiri saya berpaut pada sampan, namun kudrat saya tak mampu apabila ombak besar menarik arwah jauh daripada saya dan kemudian terus ditelan ombak," katanya.

Menurutnya, dia terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan nyawa abangnya itu, namun bersyukur kerana masih terselamat.

"Walaupun sedih saya syukur kerana ALLAH masih panjangkan umur saya pada waktu itu yang sempat diselamatkan nelayan yang melalui kawasan berhampiran," katanya.

Bapa mereka, Muhammad Jelani Othman,51, berkata, dia tidak menyangka arwah anaknya itu pergi buat selamanya.

Muhammad Jelani berkata, sebelum kejadian, anak kedua daripada empat beradik itu sempat mencuci sampan di Jeti Sungai Haji Dorani sebelum pulang ke rumah mereka di Kampung Tebuk Marso.

"Namun selepas bersarapan arwah dan seorang lagi adiknya terus ke jeti semula untuk menangkap kerang," katanya.

Menurutnya, luluh hatinya sebaik Muhammad Raihan menghubungi isterinya, Rozilah Nanyan,43, memaklumkan Muhammad Rasul hilang selepas terjatuh dari sampan kira-kira jam 10 pagi semalam.

"Saya reda dengan kejadian ini dan saya perlu kuat menghadapi dugaan ini," katanya.

Sementara itu, Rozilah menyifatkan Allahyarham Muhammad Rasul seorang anak bertanggungjawab dan taat kepada ibu bapa.

"Arwah seorang anak mendengar kata malah dia sering menemani saya ke mana-mana saya pergi.

"Kehilangan arwah amat dirasai, lebih-lebih lagi dia manja dan suka mengopek isi ketam untuk hidangan kami sekeluarga," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang lelaki yang hilang ketika keluar mencari kerang ditemui lemas di Muara Sungai Haji Dorani di sini hari ini.

Ketua Zon 7 Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Muhd Raffanjani Rahim berkata, mayat Muhammad Rasul Zailani,23, ditemui kira-kira satu batu nautika dari kawasan pencarian mangsa dilaporkan terjatuh.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!