Penjarakkan sosial dan fizikal

No Image Caption
A
A
A

DALAM bidang kesihatan masyarakat, penjarakkan sosial juga dipanggil penjarakkan fizikal. Ia bermakna satu set intervensi bukan farmaseutikal. Ia juga bermaksud langkah-langkah yang diambil untuk mencegah merebaknya sesuatu penyakit yang berjangkit dengan memastikan jarak fizikal antara manusia berlaku dan juga dengan mengurangkan kekerapan manusia melakukan kontak antara satu sama lain.

Dengan mengurangkan kebarangkalian seorang individu yang sihat mengadakan kontak dengan pesakit yang dijangkiti, penularan penyakit dapat dikurangkan dan ini akan mengakibatkan jumlah kematian yang sedikit.

Semasa pandemik Covid-19 ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencadangkan penjarakkan fizikal berbanding dengan penjarakkan sosial. Sebenarnya di samping penjarakkan fizikal, penjarakkan sosial juga mencegah jangkitan. Namun pada zaman ini, manusia boleh terus menjalin hubungan sosial menerusi teknologi.

Untuk memperlahankan landaan penyakit berjangkit dan mengelakkan bebanan ke atas sistem kesihatan khususnya semasa satu pandemik seperti apa yang berlaku sekarang ini, beberapa langkah penjarakkan sosial dilaksanakan. Misalannya penutupan sekolah dan tempat kerja, pengasingan, kuarantin, mengehadkan pergerakan insan serta pembatalan perhimpunan massa.

Walaupun istilah itu mula dikenalkan pada abad ke-21, langkah-langkah penjarakkan sosial telah dilaporkan sejak lima abad sebelum Masihi. Dalam sejarah Kristian dan kemudian Islam, pengasingan orang serta kawasan yang dilanda wabak merupakan satu amalan masyarakat. Ia terbukti berjaya.

Sewaktu wabak Justinian pada 541 hingga 542 Masihi, Maharaja Justinian telah mengimplimentasi kuarantin yang tidak berkesan di Empayar Bizantin. Dengan landaan wabak yang berterusan, ia kemudian menyalahkan orang-orang Yahudi, pagan, Arian (orang Kristian penganut tauhid) serta homoseksual.

Kini di Malaysia rakyat sedar akan betapa bahayanya jika penjarakkan fizikal tidak diamalkan. Jangkitan Covid-19 boleh berlaku menerusi tempias batuk serta bersin, kontak fizikal serta memegang permukaan yang telah dikotori oleh kuman.

Sepi

Artikel Berkaitan:

Adapun penjarakkan sosial, ia perlu ditangani secara betul. Pengasingan sosial sering menyebabkan perasaan kesepian dan keseorangan. Ini boleh menyebabkan kemurungan. Kita bernasib baik kerana hidup pada zaman teknologi yang dapat membantu manusia mengatasi masalah kesepian.

Kita perlu ingat bahawa walaupun majoriti daripada kes baharu di Malaysia adalah dalam kalangan mereka yang bukan warganegara, semuanya terkumpul di atas bumi Malaysia. Bahawa Malaysia terkenal dengan rekod yang telus adalah satu kejayaan kita di mata dunia. Kita juga bersyukur bahawa Covid-19 terus dapat dikawal di negara kita, berkat kerjasama semua, Alhamdulillah.

Kita mesti sedar bahawa selama ini pembangunan Malaysia tidak boleh berlaku tanpa penglibatan warga asing. Mereka telah menjadi sebahagian daripada keluarga besar rakyat Malaysia. Lebih penting, mereka adalah manusia seperti kita rakyat Malaysia, dan mempunyai hak serta keperluan. Sudah tentu dalam kalangan mereka wujud segelintir kecil yang mempunyai rekod serta kecenderungan melakukan jenayah. Ini tidak ubah seperti segelintir rakyat Malaysia daripada semua lapisan masyarakat yang juga mempunyai kecenderungan melakukan jenayah.

Kita tidak boleh menjadi rasis serta memahatkan stigma pada diri mereka yang bukan warganegara. Ini sudah mula berlaku bila kebenaran mendirikan solat di masjid dihadkan hanya kepada warga negara, semata-mata dengan alasan bahawa pembawa penyakit Covid-19 adalah warga asing. Peraturan yang mendiskriminasikan itu amat menyakitkan bagi orang asing di Malaysia, kata mereka.

Inilah masanya kita menunjukkan sekali lagi kerahmatan yang ada pada negara dan rakyat Malaysia.

* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah penggiat masyarakat dan pakar psikiatri