Pemandu mabuk: Akhirnya didakwa selepas tiga tahun

WARTAWAN SINAR HARIAN

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Tiga lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol.

Tertuduh, G Kumar, 38; N P Sugumaran, 31 dan Chan Tick Wai, 32, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin selepas faham pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam prosiding berasingan.

Mengikut pertuduhan, Kumar yang juga pemandu lori didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol ketika pemeriksaan dilakukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Seremban di Jalan Tun Dr Ismail pada jam 3.40 pagi, 6 Ogos 2017.

Sugumaran yang bekerja sebagai pemandu lori juga didakwa melakukan kesalahan sama di Kilometer 268.4 Lebuhraya Utara Selatan arah utara kira-kira jam 4 pagi pada 19 Februari 2017.

Tick Wai yang juga jurukimpal pula melakukan kesalahan sama di Jalan Bukit Kepayang pada jam 1.26 pagi, 21 Jun 2019.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda dari RM1,000 hingga RM6,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Kumar dan Sugumaran yang tidak diwakili peguam merayu supaya diberikan hukuman denda yang rendah kepada mereka.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Syarifah Nur Amirah Syed Ahmad Yunus meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap Kumar dan Sugumuran selain faktor kepentingan awam.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut meminta mahkamah memberikan jaminan RM10,000 terhadap Tick Wai yang memohon supaya hukuman ke atasnya ditetapkan pada satu tarikh lain.

Selepas mendengar rayuan dan hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM6,000 terhadap Kumar dan RM5,500 ke atas Sugumaran.

Norzaliza turut membenarkan Tick Wai diikat jamin sebanyak RM3,000 selain menetapkan tarikh jatuh hukum pada 17 Julai ini.