X

Kindly register in order to view this article
!

Premis kegiatan kripto, curi elektrik diserbu

Pegawai TNB menjalankan pemeriksaan penyambungan bekalan elektrik secara haram dalam operasi khas bersama MPM hari ini.
A
A

LUMUT - Majlis Perbandaran Manjung (MPM) menyerbu 12 premis kosong yang diubah suai untuk menjalankan aktiviti perlombongan mata wang maya atau kripto bernilai lebih RM12 juta tanpa lesen sekitar Seri Manjung di sini hari ini.

Operasi Khas bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu turut berjaya mengesan kegiatan mencuri bekalan elektrik dengan melakukan penyambungan haram berskala besar.

Serbuan pada jam 9.30 pagi membabitkan 12 anggota penguat kuasa MPM, 23 pegawai pasukan ‘Special Engagement Against Losses’ (SEAL) TNB dan lima polis bantuan TNB itu dijalankan selepas menerima aduan bunyi bising.

Pegawai Penguat kuasa MPM melakukan sitaan ratusan mesin melombong.
Pegawai Penguat kuasa MPM melakukan sitaan ratusan mesin melombong.

Yang Dipertua MPM, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, deretan bangunan dua tingkat yang dibina lima tahun lalu itu tidak beroperasi sepenuhnya telah dijadikan lokasi utama kegiatan yang didalangi individu tidak bertanggungjawab.

“Semakan mendapati bangunan perniagaan ini masih belum didaftarkan dengan sebarang aktiviti perniagaan selain tidak mempunyai meter elektrik tetapi bulan lalu, kita menerima aduan ada bunyi mesin yang telah mengganggu premis berhampiran menyebabkan pegawai dihantar bagi melakukan risikan,” katanya ketika ditemui di Manjung di sini.

Syamsul Hazeman (tengah) meninjau serbuan yang dijalankan di premis sekitar Seri Manjung.
Syamsul Hazeman (tengah) meninjau serbuan yang dijalankan di premis sekitar Seri Manjung.

Menurutnya, pemeriksaan pihak TNB mendapati berlaku penyambungan haram bagi menggerakkan ratusan mesin melombong yang bernilai jutaan ringgit di lokasi tersebut.

“Mereka telah melakukan pengubahsuaian bagi melakukan penyambungan haram itu dan penggunaan elektrik terlalu tinggi amat berbahaya kepada premis sekitarnya.

“Mengikut perundangan, syarat pengubahsuaian walaupun kecil mestilah melalui kelulusan MPM dan penggunaan elektrik yang tinggi perlu mendapat kelulusan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” katanya.

Penyambungan elektrik secara haram dilakukan bagi menggerakkan ratusan mesin melombong di sebuah premis di Seri Manjung.
Penyambungan elektrik secara haram dilakukan bagi menggerakkan ratusan mesin melombong di sebuah premis di Seri Manjung.

Syamsul Hazeman berkata, kesemua mesin tersebut disita dan akan dilupuskan selepas 14 hari jika tiada sebarang tuntutan.

“Tindakan diambil mengikut Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian 2017 serta Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984.

“Kita akan mengesan pemilik premis-premis tersebut kerana mereka boleh disabitkan kesalahan sekiranya berlaku aktiviti yang menyalahi undang-undang. Pemilik perlu mengetahui aktiviti yang dilakukan oleh penyewa mereka,” katanya.

Mesin melombong mata wang maya dirampas selepas didapati dijalankan di premis kosong tanpa lesen.
Mesin melombong mata wang maya dirampas selepas didapati dijalankan di premis kosong tanpa lesen.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!