Belanjawan Perak 2027: Perkukuh perlindungan Harimau Malaya di empat hutan simpan

IPOH - Perak memperkukuh usaha melindungi habitat Harimau Malaya di empat kawasan hutan simpan menerusi inisiatif Conservation Assured Tiger Standards (CA|TS) di bawah Belanjawan Negeri Perak 2027.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kawasan terbabit meliputi Hutan Simpan Amanjaya, Gerik, Banding dan Temengor dalam usaha memelihara biodiversiti serta menjamin kelestarian habitat hidupan liar.
“Pada tahun ini, pencalonan Kompleks Hutan Temengor dan Hutan Simpan Amanjaya telah diterima oleh International Big Cat Alliance (IBCA),” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri Perak 2027 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Selasa.
Menurut beliau, usaha pemuliharaan hidupan liar itu turut disokong kekayaan sumber hutan negeri yang meliputi 1.015 juta hektar atau 48 peratus daripada keseluruhan keluasan Perak.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 988,723.93 hektar merupakan Hutan Simpanan Kekal yang diurus secara mampan, termasuk menerusi pensijilan pengurusan hutan dan pelaksanaan program pemuliharaan.
“Bagi memperkukuh pengurusan serta perlindungan khazanah hutan negeri, kerajaan memperuntukkan RM51.26 juta bagi Belanja Mengurus Jabatan Perhutanan Negeri Perak, meningkat RM2.9 juta berbanding tahun 2026, manakala RM10 juta lagi bagi Belanja Pembangunan,” jelas beliau.
Menerusi belanjawan itu, katanya, kerajaan negeri turut menyediakan RM6.7 juta kepada Perbadanan Taman Negeri Perak, RM200,000 bagi Geopark Lenggong dan RM500,000 kepada World Heritage Office Lenggong.
Selain itu, RM600,000 diperuntukkan bagi Perak Lestari dan Teknologi Hijau, RM500,000 untuk program Sekretariat Kelestarian Alam Perak serta RM780,000 bagi penyelenggaraan tapak Repositori Mukim Belanja oleh Perbadanan Menteri Besar (MB Inc).
Kerajaan negeri turut menyediakan RM14.57 juta menerusi peruntukan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) bagi melaksanakan pelbagai program dan projek melibatkan jabatan serta agensi.
Sebelum ini, media melaporkan Harimau Malaya berdepan risiko kepupusan di habitat tertentu berikutan populasinya yang kecil dan terpisah, sekali gus menyukarkan pembiakan serta menjejaskan kepelbagaian genetik.
Berdasarkan Tinjauan Harimau Kebangsaan Pertama yang dijalankan antara 2016 hingga 2020, populasi spesies ikonik negara itu di habitat liar dianggarkan kurang daripada 150 ekor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

