Perak perkukuh syiar Islam

A
A
A

IPOH – Kerajaan Perak memperuntukkan RM133.8 juta kepada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bagi tahun 2027 dengan tambahan RM3 juta berbanding tahun sebelumnya bagi memperkukuh syiar Islam serta institusi keagamaan di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, komitmen itu turut diterjemahkan menerusi peningkatan peruntukan bagi membaik pulih dan membina baharu masjid serta surau, selain menaik taraf institusi pendidikan Islam.

Menurutnya, kemajuan pembangunan negeri tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan kekayaan dan infrastruktur, sebaliknya turut mengambil kira pengukuhan nilai, ilmu, iman dan akhlak masyarakat.

“Kerajaan negeri tidak pernah menjadikan syiar Islam sebagai agenda sampingan dalam membangun negeri.

“Islam sebagai agama negeri terus dipelihara martabatnya, diperkukuh institusinya dan disuburkan penghayatannya dalam kehidupan rakyat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Perak 2027 pada Selasa.

Saarani berkata, daripada keseluruhan peruntukan JAIPk itu, sebanyak RM126.8 juta disediakan bagi belanja mengurus, manakala RM7 juta untuk pembangunan meliputi penyelenggaraan enam masjid utama negeri, menaik taraf sekolah menengah agama, sekolah tahfiz serta pejabat agama daerah.

Menurutnya, selain itu RM18.2 juta diperuntukkan bagi pembayaran elaun dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada 3,310 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Katanya, kerajaan negeri turut meningkatkan peruntukan baik pulih dan bina baharu masjid serta surau sebanyak RM3 juta kepada RM18 juta manakala peruntukan menaik taraf institusi pendidikan Islam ditambah RM2 juta kepada RM7 juta.

Beliau berkata, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak turut menerima RM19.8 juta, meningkat RM900,000 berbanding tahun lalu manakala Jabatan Pendakwaan Syariah menerima RM2.7 juta dan Jabatan Mufti Negeri Perak sebanyak RM5.3 juta.

Sementara itu, Saarani turut mengumumkan peruntukan RM100,000 bagi Program Qurra’ Negeri Perak dan insentif RM10,000 kepada Cik Hasnul Taqiuddin Cik Sazali yang dinobatkan sebagai Naib Johan Qari Peringkat Antarabangsa 2026.

"Pelaksanaan Program Qurra’ Negeri Perak sebagai wadah untuk mengasuh, melatih dan menggilap bakat anak-anak muda secara intensif dalam bidang tilawah al-Quran, khususnya bagi melahirkan lebih ramai qari dan qariah yang mampu mengharumkan nama Perak di persada kebangsaan dan antarabangsa.

"Mudah-mudahan daripada program inilah kelak lahir suara-suara baharu yang mengalunkan kalam Ilahi dengan penuh keindahan, sekali gus menyambung legasi kecemerlangan al-Quran di bumi Perak Darul Ridzuan," katanya.

Dalam pada itu, Saarani berkata, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) juga menyediakan peruntukan keseluruhan kira-kira RM254.3 juta, termasuk RM247 juta bagi pengagihan zakat serta RM7.3 juta untuk pembangunan wakaf.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!