16 didakwa memandu dalam keadaan mabuk di Pahang

Kesan kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk diberi perhatian serius pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang.
Gambar kecil:Kamarulzaman Jusoh
Kesan kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk diberi perhatian serius pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang. Gambar kecil:Kamarulzaman Jusoh
A
A
A

KUANTAN - Seramai 16 individu di negeri ini dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol dalam tempoh lima bulan sejak Januari lalu.

Individu terbabit termasuk seorang peraih ikan yang memandu secara melawan arus sehingga menyebabkan kemalangan yang mengorbankan pekerja syarikat Alam Flora di Jalan Pintasan Kuantan di sini pada 26 Mei lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud berkata, dalam tempoh itu sebanyak 35 kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 45 A (1)Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan 16 individu sudah dihadapkan ke mahkamah.

Menurutnya, daripada jumlah kertas siasatan dibuka, Kuantan mencatatkan kes tertinggi iaitu 35 kes dengan 15 individu sudah didakwa di mahkamah.

"Selain itu, satu kes di daerah Pekan dan pesalah juga sudah dihadapkan ke mahkamah manakala masing-masing satu kes disiasat bagi daerah Bentong dan Raub namun kes berkenaan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

"Dalam tempoh Januari hingga 31 Mei lalu, sebanyak 15 Op Mabuk dijalankan melibatkan daerah Kuantan dan Temerloh dengan 135 individu diperiksa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Kamarulzaman berkata, daripada jumlah itu, 13 operasi di Kuantan dengan 125 individu diperiksa dan dua operasi di Temerloh melibatkan pemeriksaan ke atas sembilan individu.

"Kebanyakan individu ditahan berusia dalam lingkungan 20 hingga 60-an. Bagi daerah lain pemeriksaan ke atas pemandu mabuk turut dijalankan.

Artikel Berkaitan:

"Biasanya ia dilakukan serentak dengan Op Motosikal dan sebagainya melibatkan pemeriksaan secara rawak terhadap pemandu yang mencurigakan," katanya.

Katanya, ada beberapa kes pemandu mabuk berjaya dikesan dalam sekatan jalan dan ada juga yang dikesan selepas terbabit kemalangan.

Menurutnya, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri akan mempertingkatkan operasi bagi mengesan pemandu mabuk dengan memberi tumpuan pada malam minggu di kawasan yang mempunyai pusat-pusat hiburan.

"Langkah ini bagi memastikan kes-kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk dapat dibendung demi keselamatan pengguna jalan raya lain.

"Kami memandang serius kesalahan ini kerana ada yang terus berdegil memandu kenderaan dalam pengaruh alkohol dan dalam tempoh beberapa hari pada Jun ini, sudah ada enam individu ditahan di negeri ini atas kesalahan itu," katanya.

Kamarulzaman berkata, pihaknya tidak boleh menyekat orang ramai meminum arak, namun mereka dinasihatkan tidak memandu kenderaan selepas mengambil minuman itu.

"Orang ramai disaran patuh peraturan jalan raya dengan menghormati serta bertanggungjawab terhadap pengguna jalan raya yang lain.

"Sekiranya mereka memandu di bawah pengaruh alkohol hingga terbabit kemalangan melibatkan kecederaan atau kematian, hukuman lebih berat menanti mereka di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Menurutnya, pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan ke atas peraih ikan yang menyebabkan kematian pekerja Alam Flora dalam kemalangan maut di sini baru-baru ini wajar dijadikan iktibar kepada orang ramai supaya tidak melakukan kesalahan itu.