Sultan Pahang titah setiap inci tanah dimajukan

Sultan Pahang (depan) bertitah semasa Majlis MoU antara PKPS dan PKPP di sini pada Selasa.
Sultan Pahang (depan) bertitah semasa Majlis MoU antara PKPS dan PKPP di sini pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah mahu setiap inci tanah di negeri itu dimajukan bagi memastikan sumber tanah yang ada dapat dimanfaatkan sepenuhnya, khususnya untuk pembangunan sektor pertanian dan keterjaminan makanan.

Baginda bertitah, usaha itu perlu diberi perhatian berikutan masih terdapat banyak kawasan tanah terbiar di Pahang dengan isu pemilikan dikenal pasti antara faktor utama menyebabkan tanah berkenaan belum dibangunkan.

"Apabila melawat daerah (di Pahang), beta sentiasa bertanya berapa banyak kawasan di Pahang ini yang terbiar.

"Kita akan cuba cari kaedah yang boleh membantu dan memajukan tanah terbiar ini kerana tidak mahu seinci pun tanah di Pahang ini tidak dimajukan," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) di sini pada Selasa.

Mengulas mengenai MoU itu, Al-Sultan Abdullah bertitah, kerjasama strategik antara kedua-dua negeri membuka peluang untuk mengoptimumkan penggunaan tanah menerusi perkongsian kepakaran dan pelaksanaan pelbagai inisiatif dalam sektor pertanian.

Baginda berharap segala usaha sama yang dirancang termasuk dalam pengeluaran makanan dan ternakan dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin menerusi kerjasama PKPS dan PKPP.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah bertitah, kerjasama itu mengambil masa hampir setahun untuk direalisasikan selepas perbincangan awal bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari kira-kira setahun lalu.

Baginda menyifatkan gabungan kekuatan kedua-dua negeri itu mampu menghasilkan manfaat besar kepada rakyat Pahang dan Selangor khususnya dalam memperkukuh sektor pertanian dan ekonomi

Artikel Berkaitan:

"Kerjasama ini beta ibaratkan bukan satu perkahwinan, tetapi kerjasama antara negeri besar dan negeri terkaya.

"Mudah-mudahan gabungan kekuatan kedua-dua negeri ini dapat merealisasikan segala perancangan yang dinyatakan sekali gus membawa kesejahteraan kepada rakyat Pahang dan Selangor," titah baginda.

 

 

 

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!