Kerajaan BN didakwa gagal selesai isu air di Pahang

Ahmad Azlan
Ahmad Azlan
A
A
A

KUANTAN - Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar mempersoalkan komitmen kerajaan Pahang di bawah Barisan Nasional (BN) yang didakwa masih gagal menyelesaikan isu air di negeri itu walaupun sudah mentadbir lebih 60 tahun.

Ahmad Azlan berkata, timbul sedikit kemusykilan mengenai isu air sedangkan pemerintahan UMNO sudah lama.

"Kenapa UMNO parti yang telah memerintah Pahang lebih 60 tahun ini tidak dapat menyelesaikan lagi masalah air?

"Di mana janji-janji manis pilihan raya? Di mana peruntukan RM2.3 juta untuk perihal air di Pahang?" soalnya dalam satu kenyataan di laman sosial Facebooknya pada Selasa.

Beliau berkata, rakyat Pahang sudah menderita mengenai masalah air.

"Buka pili air yang keluar hanyalah angin! Paip (Pengurusan Air Pahang Berhad) di bawah portfolio siapa?" soalnya lagi.

Ahmad Azlan berkata, pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15), kerajaan Pahang terbentuk hasil perkahwinan di antara BN dan Pakatan Harapan (PH).

"Kenapa begitu, kerana di Pahang yang menguasai BN di DUN (Dewan Undangan Negeri) adalah UMNO manakala PH adalah DAP.

"Kita pergi kepada siapa yang bertanggungjawab terhadap isu atau perihal air di Pahang. Insan yang bertuah yang menjaga perihal air negeri Pahang adalah MB (Menteri Besar) Pahang (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) sendiri," katanya.