Kedah harus tingkatkan komitmen urus sumber hutan: Kuasa

Gambar kecil: Meor Razak
Gambar kecil: Meor Razak
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah perlu mempertingkatkan komitmen menguruskan sumber hutan dan kawasan semula jadi darat secara lestari dan mampan bagi memastikan Hutan Simpanan Kekal (HSK) terpelihara.

Penasihat Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, kerajaan negeri juga perlu menggantikan semula kawasan HSK yang dimansuhkan dengan kawasan gantian mengikut Seksyen 12, Enakmen (Pemakaian) Perhutanan 1985.

Menurutnya, pindaan peruntukan undang-undang sedia ada berkaitan pengeluaran (pemansuhan) kawasan tanah daripada HSK juga wajar dipertimbangkan.

“Tujuan pindaan adalah supaya apabila hendak mansuhkan status tanah HSK perlu terlebih dahulu diadakan penglibatan awam seperti di Selangor. Pada masa sama, kerajaan negeri perlu komited menangani kes penerokaan haram kawasan HSK dan mengambil tindakan tegas bawah peruntukan undang-undang sedia-ada,” katanya kepada Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu balak: Tujuh NGO Kedah kemuka cadangan

Mana mai sampai RM1 bilion, Mukhriz bidas Sanusi

Kedah tidak berhasrat teroka kawasan baharu pembalakan

Dalam pada itu, Meor Razak turut mencadangkan agar mewartakan Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1 (KSAS Tahap 1) dan kawasan Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (CFS): rangkaian utama dan rangkaian sekunder sebagai kawasan perlindungan.

Artikel Berkaitan:

“Kedah juga wajar mohon pampasan daripada kerajaan Persekutuan kerana kekurangan hasil disebabkan tidak benarkan kegiatan pembalakan di gugusan Hutan Ulu Muda. Malah kerajaan negeri perlu tegas tidak meluluskan semula permohonan yang dibatalkan terhadap cadangan kuari batu kapur di Gunung Pulai, Baling,” katanya.

Menurutnya, kenyataan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor bersedia mempertimbangkan membuka kembali konsesi balak menimbulkan kebimbangan aktivis alam sekitar.

“Muhammad Sanusi juga berkata akan memfokuskan ekonomi berasaskan pertanian dan menyediakan bekalan air bersih. Beliau beri jaminan akan penuhi keselamatan makanan negara dan berusaha mengurangkan kebergantungan import makanan.

"Antara tindakan untuk capai hasrat itu ialah memastikan sumber hutan dan kawasan semula jadi darat diurus secara lestari dan mampan serta memaksimumkan guna-tanah zon pertanian,” katanya.

Meor Razak berkata, ia secara tidak langsung akan memastikan rantaian sektor-sektor berkaitan terus produktif dan berdaya saing.

“Antara cadangan beberapa NGO kepada Kedah sejak tahun 80-an ialah menambah keluasan kelas hutan perlindungan yang diwartakan mengikut Seksyen 10(1)(b-l), Enakmen (Pemakaian) Perhutanan 1985 di gugusan Hutan Ulu Muda, yang berperanan sebagai punca bekalan air (kawasan tadahan) ke tiga tasik utama, iaitu Tasik Muda, Tasik Ahning dan Tasik Pedu,” katanya.

Menurutnya, gugusan Hutan Ulu Muda adalah ‘kompleks hutan’ berkeluasan 163,000 hektar meliputi lapan HSK dan wajar dilindungi daripada dieksploitasi secara melampau.

“Kepentingan tiga tasik itu untuk mengairi jelapang padi di Kedah dan sebahagian Seberang Perai selain kegunaan domestik dan perindustrian di Kedah, Pulau Pinang dan Perlis. Mengikut Rancangan Fizikal Negara (RFN), gugusan Hutan Ulu Muda dikategorikan KSAS Tahap 1 yang perlu dilindungi. Sebarang gangguan beri kesan jangka panjang kepada persekitaran dan sumber air,” katanya.

Meor Razak berkata, hutan berkenaan juga mempunyai kepelbagaian hayat berskala besar terutama habitat Gajah dan Harimau.

“Menurut pakar kesihatan dan alam sekitar, sekiranya dieksploitasi secara melampau dan memusnahkan habitat hidupan liar, tidak mustahil menyebabkan penyebaran penyakit berjangkit termasuk pandemik Covid-19,” katanya.

"Berdasarkan perangkaan 2017, keluasan kawasan hutan di Kedah adalah 342,431 hektar. Daripada jumlah itu, kawasan berstatus HSK adalah 341,976 hektar atau 36 peratus daripada keluasan tanah negeri selebihnya 455 hektar berstatus Tanah Kerajaan.

“Saya harap kerajaan negeri mengekalkan keluasan kawasan hutan terutama HSK agar selari dengan komitmen negara pada Persidangan Mengenai Perubahan Iklim ke-15, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (2009) iaitu mengekalkan 50 peratus keluasan tanah negara dilitupi hutan," katanya.

Menurutnya, ia juga selari dengan sasaran Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) untuk capai lima juta hektar keluasan HSK di Semenanjung Malaysia tahun ini.

Meor Razak berkata, berdasarkan perangkaan Jabatan Perhutanan Negeri, terdapat pengurangan keluasan kawasan HSK di Kedah beberapa tahun kebelakangan akibat pemansuhan kawasan berkenaan.

“Ini kerana HSK yang dimansuh tidak diganti semula, ketiadaan kawasan tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak gantikan kawasan HSK yang dimansuhkan. Ini kelemahan pengurusan hutan selain kebimbangan pelaksanaan pembangunan ladang monokultur (ladang hutan) berskala besar di kawasan HSK,” katanya.

Menurutnya, zon ladang hutan dalam HSK yang diluluskan di Kedah adalah 15,380 hektar atau 4.50 peratus daripada keluasan HSK di negeri ini.

“Terdapat kawasan ini merupakan koridor hidupan liar serta Rangkaian Ekologi, iaitu Hutan Simpan Ulu Muda dan Hutan Simpan Gunung Inas. Apabila guna tanah hutan ditukar kepada pembangunan ladang, fungsi kepelbagaian hayat hutan terjejas.

"Malah terdapat pembangunan ladang hutan tidak mengikut kriteria antaranya dibangunkan di kawasan kecerunan melebihi 25 darjah, memusnahkan kawasan rizab sungai, melaksanakan projek di kawasan bukan ditakrif hutan miskin, serta beroperasi tanpa kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (Laporan EIA), contohnya ladang hutan di Hutan Simpan Bukit Enggang,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya membantah sekiranya kerajaan negeri hendak meneruskan cadangan pembangunan ladang hutan berskala besar termasuk aktiviti kuari dalam HSK.