Isu balak: Tujuh NGO Kedah kemuka cadangan

Dari kiri, Mohd Azmi, Mohd Azrul serta Hazwan Syah Niezam.
Dari kiri, Mohd Azmi, Mohd Azrul serta Hazwan Syah Niezam.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah perlu berunding dengan kerajaan Persekutuan untuk mencari alternatif sumber pendapatan negeri selain pembalakan.

Sehubungan itu, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Kedah turut mencadangkan agar kerajaan Pusat membantu Kedah menerusi dana tambahan daripada agensi antarabangsa mengenai perubahan cuaca.

Kerajaan Kedah juga disaran mengadakan rundingan bersama kerajaan Pulau Pinang dan Perlis dalam menangani isu sumber air.

Saranan itu disuarakan dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan, Presiden Teras Pengupayaan Melayu, Mohd Azmi Abdul Hamid; Yang Di-Pertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kedah, Hazwan Syah Niezam Abd Hanif; Presiden Kindness Malaysia, Mohd Azrul Mohd Razak; Pengerusi PeSAWAH, Fuad Yaacob; Ahmad Miqhdad Ahmad Shukri (Kolektif Kubang Ilmu); Muhammad Afif Abdul Mutalib (Buku Jalanan Jitra); serta Nurfitri Amir Muhammad (Forum Kedaulatan Makanan Malaysia).

Menurut mereka, projek pembalakan semula dan pelbagai kaedah pembalakan mapan tidak boleh menggantikan kerugian dan kos yang terpaksa ditanggung akibat daripada terjejasnya sumber air.

“Kesan pembalakan adalah negatif antaranya hakisan bukit, pemendapan sungai dan akhirnya banjir besar berlaku akibat hutan dimusnahkan. Sumber air tidak dapat diatasi dengan teknologi, ia bergantung kepada kapasiti kawasan tadahan air iaitu hutan. Jika hutan terjejas terutama kawasan diwartakan tadahan air, sumber air akan terancam,” menurut kenyataan bersama itu.

Sehubungan itu, mereka berharap kerajaan negeri tidak meneruskan cadangan untuk membuka semula konsesi pembalakan sama ada di kawasan lama mahupun baharu, terutama di kawasan tadahan air.

“Kami gesa kerajaan Kedah tidak membuka semula konsesi balak yang ditamatkan sebelum ini. Implikasi pembalakan atas kawasan Ulu Muda sangat besar terutama bekalan air kepada sektor domestik, pertanian dan perindustrian di negeri ini, Perlis dan Pulau Pinang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu lagi, ratusan ribu pesawah di wilayah utara bergantung air dari Empangan Ulu Muda sebagai sumber utama perusahaan padi.

“Telah berlaku beberapa insiden bila Empangan Ulu Muda dan beberapa empangan lain kekurangan air dan sangat kritikal. Jika pembalakan diteruskan, kesan jangka panjang akan dirasai pesawah di seluruh Kedah,” katanya.

Dalam pada itu, pihaknya mengingatkan kerajaan negeri agar kelestarian hutan diseimbangkan dengan status Kedah sebagai jelapang padi negara.

“Pengeluaran padi yang terjejas akibat kekurangan air akan memberi kesan kepada sekuriti makanan negara. Keutamaan harus diberi kepada keperluan air selain kepentingan menjaga kelestarian alam, sumber biodiversiti serta kesan perubahan cuaca,” katanya.

Tegas mereka, Hutan Ulu Muda adalah hutan hujan tropika yang sangat bernilai dan sebarang pembalakan akan menjejaskan pelbagai keseimbangan alam di seluruh negeri ini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan negeri berdepan tuntutan ganti rugi RM1.5 bilion daripada 40 syarikat pembalakan yang diberikan hak membalak di Hutan Simpan Ulu Muda selepas konsesi mereka dibatalkan kerajaan terdahulu.

Sehubungan itu, antara cadangan adalah membuka kembali konsesi balak di luar Ulu Muda sebagai opsyen menggantikan kawasan lain kepada syarikat konsesi terlibat atau berdepan tindakan mahkamah atau membayar ganti rugi.