MB Kedah perlu hormati mandat rakyat Selangor

PN sebelum ini memaklumkan akan menampilkan calon anak jati negeri Selangor yang mempunyai kewibawaan untuk memimpin negeri ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu yang dijangka diadakan pada tahun ini. (Gambar kecil: Abbas Azmi)
PN sebelum ini memaklumkan akan menampilkan calon anak jati negeri Selangor yang mempunyai kewibawaan untuk memimpin negeri ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu yang dijangka diadakan pada tahun ini. (Gambar kecil: Abbas Azmi)
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diingatkan menghormati mandat rakyat yang memilih pemimpin daripada Pakatan Harapan (PH) di negeri ini dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Ahli Jawatankuasa Amanah Negeri Selangor, Abbas Azmi berkata, sikap Muhammad Sanusi yang memainkan sentimen kenegerian dengan mengeluarkan kenyataan Menteri Besar Selangor dan barisan Exco bukan anak jati negeri ini disifatkan tidak bertanggungjawab.

Jelas beliau, semua pemimpin yang mentadbir di negeri ini dipilih pengundi dan telah melaksanakan tugas dengan baik demi kepentingan rakyat.

"Menteri Besar dan Exco Selangor sepanjang masa memikirkan kebajikan rakyat, malah ada sahaja inisiatif atau program baru dijalankan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Abbas memberitahu, sehingga kini lebih 40 inisiatif kerajaan negeri Selangor telah dilaksanakan dengan membabitkan keseluruhan rakyat.

"Tidak pernah sekali pun mana-mana program kerajaan negeri menganaktirikan mana-mana pihak asalkan mereka bermastautin dan mengundi di negeri Selangor.

"Seharusnya Muhammad Sanusi mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Selangor kerana tidak menyisihkan rakyat Kedah yang bermastautin di negeri Selangor ini," tegas beliau.

Sehubungan itu, katanya, Muhammad Sanusi diminta memberi tumpuan kepada permasalahan rakyat di negeri diterajui beliau.

"Apakah tidak berasa malu apabila rakyat negeri Kedah tidak mendapatkan bekalan air ketika Hari Raya Aidilfitri baru baru ini sehingga mereka meluahkan perasaan marah di media sosial?," kata beliau.

Jelas Abbas, Muhammad Sanusi diingatkan jangan memecahbelahkan rakyat negeri Selangor yang sekian lama harmoni dan sejahtera di bawah PH.

"Cukup-cukuplah memainkan sentimen bangsa dan agama yang sempit dan menjadi modal politik semata mata kini cuba menjadi batu api mempertikai asal usul seseorang," tambahnya.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, Perikatan Nasional (PN) akan menampilkan calon anak jati negeri Selangor yang mempunyai kewibawaan untuk memimpin negeri ini pada PRN di negeri itu yang dijangka diadakan pada tahun ini.

Muhammad Sanusi berkata, calon berasal dari negeri itu lebih memahami latar belakang dan budaya di negeri berbanding calon dari negeri lain.