X

Kindly register in order to view this article
!

Melaka perhalusi SOP buka kedai gunting rambut, pasar terbuka

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan Negeri Melaka sedang memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) mengenai pembukaan pasar terbuka, kedai gunting rambut dan salun.

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sedar ramai golongan peniaga yang terjejas, namun sebagai sebuah negeri yang berasaskan pelancongan, Melaka perlu lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang keputusan demi kepentingan semua pihak.

Menurutnya, taklimat Majlis Keselamatan Negeri kepada Ketua Menteri serta Mesyuarat Jawatankuasa Khas Koronavirus (Covid-19) Negeri yang dipengerusikan Exco Negeri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Abdul Ghafar Atan akan diadakan pada 9 Jun ini untuk memperhalusi SOP tersebut sebelum satu kenyataan rasmi diumumkan selepas tarikh itu.

"Kerajaan negeri begitu mendengar keluh kesah rakyat yang terjejas dengan pandemik Covid-19 terutama mereka yang kehilangan pendapatan termasuk peniaga pasar malam, pasar pagi, bazaria, kedai gunting rambut dan salun.

"Oleh itu kita masih memperhalusi lagi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN,) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) demi kepentingan dan kebaikan semua pihak," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan malam tadi.

Terdahulu, kerajaan membenarkan perkhidmatan gunting rambut, kecantikan dan yang berkaitan dengannya bermula 10 Jun ini menerusi pengumuman oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan menetapkan SOP yang ketat, aktiviti dibenarkan ialah gunting rambut, cuci rambut, cukur misai dan jambang, solekan dan dandanan rambut, pedicure, menicure dan cuci muka.

ARTIKEL BERKAITAN: Kedai gunting rambut sudah boleh operasi mulai 10 Jun

Mengulas lanjut, Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu berkata, pihaknya, berharap semua pihak dapat bersabar kerana sebarang keputusan yang dibuat kelak akan mengambil kira kepentingan semua pihak sama ada golongan peniaga yang terjejas mahupun masa depan ekonomi Melaka sendiri.

"Biarpun kerajaan negeri menerima pelbagai maklum balas terutama dalam media sosial di samping amat prihatin dengan nasib golongan peniaga yang terjejas, namun kita perlu berhati-hati sebelum membuat sebarang keputusan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!