X

Kindly register in order to view this article
!

Penjana bukti keprihatinan kerajaan, status PKPB masih jadi tanda tanya

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan pada perutusan khas yang disiarkan secara langsung di stesyen televisyen tempatan dan radio di Bangunan Perdana Putra semalam. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang bakal memanfaatkan rakyat keseluruhannya menjadi bukti keprihatinan kerajaan namun orang ramai masih tertanya-tanya mengenai status Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sama ada akan dilanjutkan atau tidak apabila ia tamat Selasa ini.

Semua sedia maklum bahawa tindakan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac sebelum memperkenalkan PKPB pada 4 Mei lalu jelas membantu Kementerian Kesihatan (KKM) melandaikan kes penularan Covid-19 di negara ini.

Pelaksanaan PKP menyaksikan statistik penurunan kes positif baharu dari sehari ke sehari melibatkan warganegara sudah mencecah satu angka namun petugas barisan hadapan masih perlu bekerja keras dalam menangani kes positif yang meningkat dalam kalangan warga asing.

Apa pun keputusan kerajaan berhubung pelanjutan PKP, rakyat perlu membiasakan diri dengan normal baharu dalam rutin harian agar menjadi masyarakat yang sihat dan bersih.

Berbalik kepada pakej rangsangan ekonomi, Penjana yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menyaksikan 40 inisiatif bertujuan merancakkan semula ekonomi negara dalam jangka pendek membabitkan sejumlah RM35 bilion.

Memahami keresahan rakyat yang bimbang berdepan risiko kehilangan pekerjaan, kerajaan telah memperuntukkan hampir RM9 bilion menerusi Perluasan Program Subsidi Upah bernilai RM5 bilion dan Program Insentif Pengambilan Pekerja (RM1.5 bilion), yang bakal memanfaatkan sejumlah tiga juta tenaga kerja.

Selain itu, antara inti pati menarik dalam pakej rangsangan ekonomi tersebut ialah pengecualian cukai jualan sebanyak 100 peratus ke atas penjualan kereta penumpang pemasangan tempatan serta 50 peratus bagi kereta penumpang yang diimport bagi tempoh 15 Jun hingga 31 Disember 2020.

Bagi meningkatkan keyakinan ibu bapa untuk menghantar semula anak mereka ke taska, kerajaan akan memberikan geran kepada pengendali taska bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Sebelum ini, kerajaan telah memperkenalkan beberapa pakej rangsangan ekonomi termasuk Prihatin dan Prihatin PKS Tambahan berjumlah RM260 bilion.

Selain berita gembira mengenai pakej rangsangan ekonomi itu, situasi Covid-19 di dalam negara turut menyaksikan perkembangan positif apabila hanya mencatatkan sejumlah 19 kes semalam berbanding 277 pada hari sebelumnya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!