Pengerusi MyWatch tak mengaku buat hantaran palsu terhadap PDRM

Sanjeevan (kiri) ketika keluar dari mahkamah hari ini.
Sanjeevan (kiri) ketika keluar dari mahkamah hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (Mywatch), Datuk Seri R Sanjeevan didakwa di mahkamah atas dua pertuduhan memuat naik dua hantaran palsu mengenai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 18 Mac dan 16 Mei lalu.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan bagi kedua-dua kes tersebut yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Kamar Jamaludin.

Mengikut pertuduhan pertama pada 18 Mac 2020 lalu, pada jam 4.20 petang di aplikasi Twitter @SanjeevanSS, tertuduh secara sedar membuat hantaran komunikasi palsu dengan niat untuk menganiaya orang lain.

Hantaran itu telah dibaca pada 7 April 2020 jam 3.15 petang di pejabat Komunikasi Aras 2, Menara 1, Ibu Pejabat Polis Buki Aman dalam daerah Dang Wangi, Wilayah Persekutuan.

Oleh yang demikian, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 [Akta 588] yang boleh dihukum 233 (3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih 1 tahun atau kedua-duanya dan selanjutnya boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari bagi kesalahan itu yang diteruskan selepas pensabitan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh pada 16 Mei lalu pada jam 9.07 malam di aplikasi Twitter My_CrimeWatch, tertuduh dengan sengaja membuat hantaran komunikasi palsu dengan niat sengaja menganiaya orang lain yang telah dibaca pada 17 Mei 2020 pada jam 8.15 pagi di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Bukit Aman di Tingkat 27 Menara KPJ dalam daerah Wangsa Maju, Wilayah Persekutuan.

Tertuduh didakwa telah melalukan kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi Media 1988 [Akta 588] dan boleh dihukum di bawah seksyen 233(3) akta yang sama.

Artikel Berkaitan:

Sabit kesalahan, tertuduh juga boleh dihukum didenda RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih 1 tahun atau kedua-duanya dan selanjutnya boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari bagi kesalahan yang diteruskan selepas pensabitan.

Timbalan Pendakwa Raya, Syamimi Farhana Muhammad A Aziz menawarkan jaminan sebanyak RM40,000 bagi kedua-dua kes.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Preakas Sampunathan memohon jaminan dikurangkan kerana jumlah itu tidak relevan untuk mengikat tertuduh ekoran sebelum ini anak guamnya pernah menghadapi pertuduhan hampir sama dan setakat ini anak guamnya memberi kerjasama penuh terhadap kes yang dihadapinya di mahkamah sebelum ini.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 bagi kedua-dua kes dengan seorang penjamin warga negara Malaysia dan menetapkan 23 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.