Karangkraf serah 400 al-Quran wakaf

Muhammad Nasir (dua dari kanan) menyerahkan al-Quran wakaf kepada salah satu jabatan dari Bachok hari ini.
Muhammad Nasir (dua dari kanan) menyerahkan al-Quran wakaf kepada salah satu jabatan dari Bachok hari ini.
A
A
A

BACHOK - Kumpulan Karangkraf dengan kerjasama Sinar Harian, Yayasan Nur Karangkraf, Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Petronas Malaysia dan rakyat negara ini meneruskan usaha untuk menjayakan impian setiap rumah memiliki al-Quran menerusi misi Senaskah Al-Quran Setulus Kasih.

Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, misi tersebut membawa harapan besar untuk menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan yang membawa kepada keharmonian sejagat.

Menurutnya, selain mengajak pelbagai pihak termasuk orang ramai menderma atau mewakafkan al-Quran, beliau juga mengharapkan dengan inisiatif dijalankan secara bersama itu membolehkan setiap kediaman mempunyai al-Quran untuk dimanfaatkan.

“Dunia semasa hari ini kita lihat terdapat pelbagai pertelingkahan berlaku, yang kadang-kadang dilihat melampaui batasan sehingga 'mengherdik' normal kehidupan seharian.

“Apabila setiap rumah mahupun agensi-agensi memiliki al-Quran, al-Quran itu dibaca, dihayati dan diamalkan ia boleh dijadikan sebagai rawatan untuk jiwa masing-masing dan seterusnya melahirkan seorang Islam yang sejati dalam masyarakat majmuk.

“Kembalilah kepada al-Quran, bacalah al-Quran, bertadabur dan amalkan kebaikan yang diajar di dalam al-Quran supaya masyarakat dunia Islam kita hari ini disirami dengan nilai-nilai yang murni untuk kesejahteraan seluruh umat,” katanya di sini kelmarin.

Terdahulu, beliau menyerahkan 400 naskhah al-Quran kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Irama, Mohd Huzaimy Che Husin sempena Majlis Penyerahan Sumbangan Al-Quran Wakaf, Cakna Bachok Peringkat DUN Pantai Irama di Dewan Tok Bachok Masjid Mahmudi.

Muhammad Nasir juga memberitahu, selain diberikan kepada masjid, al-Quran yang diwakafkan itu juga diagihkan kepada agensi dan juga barisan petugas hadapan yang berkhidmat memerangi wabak koronavirus di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Katanya, program tersebut diteruskan dari masa ke masa memandangkan terdapat pelbagai pihak tampil menyokong usaha dilakukan selain menerima sumbangan orang ramai untuk mewakafkan al-Quran.

Sementara itu, menyokong usaha dijalankan tersebut, Mohd Huzaimy berkata, al-Quran yang dihulurkan itu akan diagihkan kepada pejabat kerajaan di sekitarnya selain didermakan kepada rumah anak-anak yatim.

“Kita menyokong inisiatif yang digerakkan Kumpulan Karangkraf dan Sinar Harian ini dalam membentuk masyarakat yang dekat dengan al-Quran kerana ia selari dengan apa dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

“Dalam kehidupan seharian kita, ia tidak boleh lari daripada menjadikan al-Quran sebagai pegangan hidup,” katanya.

Beliau mengharapkan al-Quran yang diwakafkan itu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh penerima supaya semua yang terlibat mendapat rahmatnya.

“Terima kasih kepada semua yang mewakafkan al-Quran ini dan saya mendoakan supaya setiap insan ini menerima kebaikannya dan lebih ramai yang akan menderma,” katanya.