Covid-19: Tiada lagi anggota ATM dihantar Cox's Bazar

Ismail Sabri pada sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di bangunan Perdana Putra hari ini.Foto: Bernama
Ismail Sabri pada sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di bangunan Perdana Putra hari ini.Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Tiada lagi pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dihantar bertugas di Hospital Medan Malaysia, Cox's Bazar di Bangladesh dalam tempoh wabak Covid-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah berkenaan diambil sebagai langkah pencegahan daripada wabak itu.

“Sebelum ini kita (Malaysia) memang ada menghantar 56 anggota ATM untuk bertugas di Cox’s Bazar tetapi mereka telah dipanggil balik apabila Covid-19 mula melanda.

“Maka tiada lagi anggota ATM akan berada di Cox’s Bazar,” katanya dalam sidang akhbar harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), di sini, hari ini.

Hospital Medan Malaysia mula beroperasi hujung 2017 selepas berlakunya kebanjiran lebih 700,000 pelarian Rohingya dari Myanmar ke Bangladesh akibat kekejaman tentera Myanmar di utara Rakhine.

Berhubung mengenai kes penipuan jual beli penutup hidung dan mulut, Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka sebanyak 572 kertas siasatan berhubung kes berkenaan daripada tempoh 18 Mac lepas sehingga semalam yang melibatkan kerugian sebanyak RM5.5 juta.

Beliau berkata, kebanyakan kes penipuan berkenaan melibatkan urusan jual beli melalui platform Facebook dan WhatsApp.

“Negeri-negeri yang mencatatkan kertas siasatan yang tertinggi ialah Selangor (122), Johor (68) dan Pulau Pinang (68)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri berkata, daripada jumlah itu, PDRM telah menangkap 181 individu dan 53 lagi individu telah dituduh di mahkamah.

“Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati apabila membuat pembelian melalui platform dalam talian. Elakkan berurusan di laman web yang (membabitkan tawaran) mencurigakan dan semak ulasan serta komen daripada pembeli lain. Jangan terpedaya dengan tawaran murah,” katanya. - Bernama