Taman Langit Murni, Kuala Langat dikenakan PKP Pentadbiran

Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara pentadbiran dikenakan di Taman Langat Murni, Kuala Langat berikutan wujudnya kes positif koronavirus (Covid-19) di kawasan itu, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Semasa menafikan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikenakan di kawasan berkenaan seperti dilapor sesetengah media, Ismail Sabri berkata, penduduk di kawasan itu masih boleh keluar masuk untuk urusan harian namun perlu melalui saringan kesihatan rapi dalam usaha kerajaan membasmi penularan wabak Covid-19 di kawasan tersebut.

"Berbeza dengan PKPD, mereka masih boleh keluar masuk tetapi mereka akan dikenakan saringan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini.

Terdapat laporan media kerajaan melaksanakan PKPD di situ dengan polis dan anggota tentera memasang pagar kawat duri di sekitar kawasan itu tengah malam tadi kononnya selepas lebih 20 warga asing disahkan positif Covid-19.

Kawasan Hulu Langat dikenakan PKPD pada Mac lepas melibatkan tujuh kampung di Sungai Lui termasuk dua perkampungan orang asli, selepas 71 kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan 274 penghuni Maahad Tahfiz AnNabawiyyah di Batu 23 Sungai Lui.

Kawasan terakhir yang dikenakan PKPD adalah kawasan sekitar Pasar Jalan Othman di Petaling Jaya pada 10 Mei, selepas 26 kes Covid-19 dikesan dalam kalangan peniaga dan pekerja di pasar basah itu.

Ditanya mengenai status PKPB yang sepatutnya berakhir 9 Jun, Ismail Sabri berkata, pihaknya belum tahu lagi kerana belum ada lagi perbincangan untuk sambung atau tidak.

Artikel Berkaitan:

"Apabila keputusan sudah dibuat, kita akan umumkan. Sambung kita umum, tidak sambung pun kita umum. Tunggulah apabila pengumuman dibuat,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 56 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPB dan daripada jumlah itu, 46 individu direman manakala 10 individu dijamin polis.

PDRM juga, kata beliau, telah mengeluarkan kompaun kepada 88 individu atas pelbagai kesalahan ingkar arahan PKPB namun tiada kompaun dikeluarkan atas kesalahan ziarah Aidilfitri.

Selain itu, PDRM telah mengadakan 138 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri di seluruh negara dan memeriksa 267,373 kenderaan berbanding 283,677 kenderaan pada hari sebelumnya.

“Sebanyak 93 kenderaan diarah patah balik atas cubaan rentas negeri tanpa kebenaran. Antara negeri yang mencatatkan cubaan rentas negeri yang tertinggi adalah Pahang (38), Melaka (27) dan Selangor (24),” tambahnya. - Bernama