Amanah Kuala Langat bantah Hasnul calon DUN Morib

Mohd Safiee
Mohd Safiee
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Kuala Langat membantah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Morib, Hasnul Baharuddin sebagai calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 12 Ogos depan.

Ketuanya, Mohd Safiee Harun berkata, Amanah kawasan dan ketiga-tiga sayap parti terdiri daripada Pemuda, Wanita (Awan) dan Wanita Muda (Warda) tidak bersetuju Hasnul diletakkan sebagai calon kerana telah menjadi ADUN selama dua penggal sejak 2013 hingga Jun lalu.

"Kami berpendirian parti perlulah menampilkan muka baharu yang lebih segar dan berwibawa dalam menggalas tanggungjawab membela rakyat.

"Lebih-lebih lagi (dalam keadaan) suasana politik negara berubah kepada trend politik baharu yang lebih terbuka dan pantas," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohd Safiee berkata, Amanah kawasan itu berpendirian seorang wakil rakyat khususnya di DUN Morib berkhidmat selama dua penggal sahaja.

Jelas beliau, rakyat pastinya mahukan sentuhan dan idea ADUN baharu yang lebih prihatin serta efisien sekiranya menang dalam PRN kali ini.

"Kami yakin parti ini tidak ketandusan pelapis kepimpinan berkaliber yang mampu menjadi pemimpin lebih baik," kata Mohd Safiee.

Ujar beliau, kerusi ditandingi calon bukanlah hak mutlak individu tertentu sehingga menafikan bakat kepimpinan lain untuk diketengahkan dalam usaha memberikan khidmat kepada rakyat.

"Ruang dan peluang perlu diberikan kepada calon muka baharu untuk dipertaruhkan di DUN Morib dan cukuplah dua penggal peluang diberikan kepada Hasnul," tambahnya.