Donald Trump, Presiden AS 'paling berani'

Trump (kiri) tidak belajar menggunakan pendekatan yang digunakan oleh Kennedy untuk meredakan ketegangan kaum pada 1963.
Trump (kiri) tidak belajar menggunakan pendekatan yang digunakan oleh Kennedy untuk meredakan ketegangan kaum pada 1963.
A
A
A

WASHINGTON - Betapa rakyat Amerika Syarikat (AS) berbangga mempunyai Donald Trump sebagai Presiden yang 'paling berani'.

Beliau layak digelar sedemikian kerana menjadi seorang pemimpin yang memilih untuk bersembunyi di kubu pertahanan bawah tanah di Rumah Putih ketika bakal pesaingnya dalam Pilihan Raya Presiden AS 2020, bekas Naib Presiden Joe Biden sanggup turun padang dan bertemu penunjuk perasaan.

Hanya 'pemimpin berani' sanggup ditempatkan di bunker ketika negaranya sedang huru-hara akibat protes ganas yang berlarutan selama lebih seminggu di tengah-tengah ancaman koronavirus yang masih meningkat dan AS kekal berada di tangga teratas dengan 1.8 juta kes jangkitan.

Bilionair itu juga hanya berani bersuara di media sosial, malah beliau menjadikan Twitter sebagai platform untuk mempamerkan keangkuhannya dan sikap beliau sebagai seorang pemimpin yang rasis hingga menjadi pemimpin pertama di dunia dilabel melanggar syarat perkhidmatan laman blog mikro itu kerana menyokong keganasan.

Jika pemimpin lain enggan memburukkan situasi jika berlaku sesuatu konflik di negara di bawah pentadbiran mereka, Trump, 73, pula terlalu berani untuk menuang minyak ke dalam api dan sikap beliau itu telah mengeruhkan lagi keadaan di negara ekonomi terbesar di dunia itu.

Beliau juga terlalu berani mengancam untuk menembak perusuh dan mengerahkan tentera yang dilihat Trump sebagai jalan penyelesaian terbaik kepada krisis tersebut dan terus menuding jari menyalahkan pihak lain termasuk gerakan antifasis kerana situasi terbabit makin tegang.

Sememangnya seorang individu perlu keberanian yang ada pada Trump untuk kental berdepan kecaman dan bijak menggunakan isu rusuhan ganas yang membantah kematian George Floyd angkara anggota polis kulit putih pada 25 Mei lalu untuk mengalihkan perhatian masyarakat dunia terhadap kegagalannya menangani wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Seorang penunjuk perasaan memegang potret Floyd yang meninggal dunia akibat tindakan kekerasan anggota polis di Minneapolis pada 25 Mei lalu. -Foto Agensi
Seorang penunjuk perasaan memegang potret Floyd yang meninggal dunia akibat tindakan kekerasan anggota polis di Minneapolis pada 25 Mei lalu. -Foto Agensi

Tetapi, taktik Trump pada kali ini tidak berjaya dan AS kini berdepan rusuhan awam paling buruk dalam tempoh beberapa dekad dan telah merebak di lebih 70 bandar.

Ahad lalu, Rumah Putih turut memadamkan seluruh lampu selepas salah satu amaran diaktifkan susulan kawasan luar kediaman rasmi Presiden AS itu menjadi sasaran amukan penunjuk perasaan antirasisme selama tiga hari berturut-turut.

Ketika itu, Rumah Putih kelihatan masih berdiri teguh, namun ia kelihatan seperti tiada penghuni.

"Trump belum menunjukkan sebarang ciri kepimpinan yang baik dalam menangani apa jua masalah dalam komuniti di sini," kata pertubuhan hak sivil di AS, National Association for the Advancement of Colored People (NAACP).

Tidak belajar

Walaupun rusuhan ganas di AS itu dikatakan pernah berlaku sebelum ini, namun cara menyampaikan kenyataan menerusi stesen TV adalah perkara biasa yang akan dilakukan Presiden AS terdahulu sebagai usaha untuk meredakan ketegangan.

Pada 1963, Birmingham, Alabama pernah menjadi pusat protes dan rusuhan selepas insiden letupan bom di luar motel aktivis hak sivil, Martin Luther King Jr hingga meragut nyawanya.

Tunjuk perasaan itu kemudiannya merebak ke bandar lain di bahagian selatan dan utara yang menyaksikan ketegangan kaum di AS mencapai tahap baharu.

Selepas Gabenor Alabama, George Wallace cuba untuk menyekat kemasukan pelajar kulit hitam di University of Alabama pada bulan Jun tahun sama, Presiden John F Kennedy akhirnya tampil dan berucap tentang hak sivil.

"Sudah 100 tahun sejak Presiden Abraham Lincoln membebaskan golongan hamba, keturunan mereka masih tidak bebas sepenuhnya. Mereka tidak bebas daripada ketidakadilan, penindasan ekonomi dan sosial. Negara ini tidak akan merdeka selagi kesemua rakyatnya belum bebas," ujar Kennedy.

Menerusi ucapan itu, Presiden ke-35 AS itu turut mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan undang-undang hak sivil yang menjadi asas untuk Akta Hak Sivil 1964 dan Akta Hak Mengundi pada 1965.

Kennedy juga mengarahkan pasukan tentera untuk mengiringi pelajar kulit hitam pulang ke kampus University of Alabama.

Kennedy
Kennedy

Ia adalah detik paling bermakna ketika pentadbiran Kennedy dan sejarah penting untuk hak sivil di AS.

Bahkan, Presiden ke-37 AS, Richard Nixon juga pernah berusaha untuk meredakan kemarahan rakyat Amerika ketika Perang Vietnam.

Pada 1970, Nixon mengadakan lawatan di kem penunjuk perasaan antiperang di Lincoln Memorial di Washington selepas empat pelajar maut dalam pertempuran dengan Pengawal Negara Ohio ketika protes di Kent State University.

Tetapi, Trump sebenarnya hanya layak digelar sebagai pengecut, penipu, seorang yang berpura-pura, taasub pada diri sendiri dan suka menyalahkan orang lain atas kesilapan sendiri.

Sikap pembuli Presiden ke-45 AS itu adalah taktik lapuk yang sering digunakan beliau untuk menutup kelemahannya dan kegagalannya sebagai pemimpin.

Tinggal beberapa bulan sahaja lagi Trump bakal bertanding untuk kekal memegang jawatan di Rumah Putih.

Adakah populariti dan sokongan Trump yang semakin merudum bakal menguburkan hasrat beliau untuk meneruskan pemerintahan penggal kedua pada November depan?