MBSA terima anugerah khas di Amerika Syarikat

MBSA menerima Anugerah Pencapaian Khas GIS sempena Persidangan Esri International User 2023 di California, Amerika Syarikat. - Foto Facebook Majlis Bandaraya Shah Alam
MBSA menerima Anugerah Pencapaian Khas GIS sempena Persidangan Esri International User 2023 di California, Amerika Syarikat. - Foto Facebook Majlis Bandaraya Shah Alam
A
A
A

SHAH ALAM - Inovasi penggunaan teknologi Geography Information System (GIS) oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dipilih menerima Anugerah Pencapaian Khas GIS sempena Persidangan Esri International User 2023 di California, Amerika Syarikat pada 12 Julai lalu.

Penganugerahan tersebut diberikan kepada pengguna di seluruh dunia untuk mengiktiraf kecemerlangan dalam penggunaan teknologi GIS daripada 100,000 peserta lain yang terlibat.

MBSA dalam satu kenyataan memaklumkan pencapaian tertinggi itu adalah melibatkan Jabatan ICT, Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta, Jabatan Kewangan serta Jabatan Pelesenan dalam projek Integrasi Pemetaan GIS dengan sistem cukai E-Massa yang memaparkan pemantauan kutipan cukai dan pelesenan menerusi portal i-MapSA.

Di samping itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu berkata, MBSA turut dijemput bagi menghadiri persidangan ‘Esri International User Conference’ (Esri US) 2023 bermula 10 hingga 14 Julai lalu.

"Ia membolehkan pegawai MBSA menghadiri dalam mana-mana daripada 300 sesi pembentangan dan latihan teknikal yang dibentangkan semasa acara lima hari itu," kata kenyataan itu di laman Facebook MBSA.

Ketua Bahagian Teknologi Maklumat, Umi Aida Ab Malek dan Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Perancangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Nur Syadwan Yahsan mewakili MBSA menerima anugerah tersebut pada Persidangan Esri International User 2023 di California, Amerika Syarikat pada 12 Julai 2023.