My #QuranTime platform mengQurankan bangsa, mengIkhlaskan ummah

Marhaini (kanan) dan Namanzee (empat dari kiri) bersama Pengasas WUIF serta Pengerusi TV Alhijrah, Datuk Hussamuddin Yaacub (lima dari kiri) mengangkat plakad kempen My#QuranTime selepas sidang akhbar di Shah Alam hari ini. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Marhaini (kanan) dan Namanzee (empat dari kiri) bersama Pengasas WUIF serta Pengerusi TV Alhijrah, Datuk Hussamuddin Yaacub (lima dari kiri) mengangkat plakad kempen My#QuranTime selepas sidang akhbar di Shah Alam hari ini. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan TV Alhijrah melancarkan penerbitan program televisyen baharu, My #QuranTime bermula 8 Jun ini merupakan platform terbaik yayasan itu bagi mencapai objektif 'mengQurankan bangsa, mengIkhlaskan ummah'.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, melalui siaran baharu itu yang dianggarkan mengambil tempoh hampir tiga tahun untuk khatam tadabbur seluruh 114 surah dalam al-Quran, WUIF akan mengekalkan pendekatan mengajak orang ramai berinteraksi dengan al-Quran menerusi kaedah baca, faham dan amal.

Lebih menarik, beliau menegaskan My #QuranTime merupakan satu program televisyen yang buat pertama kali dalam sejarah akan mengajak penonton untuk sama-sama mentadabbur al-Quran dari halaman pertama hingga halaman 604, halaman terakhir, selama satu jam setiap hari.

"Justeru, program My #QuranTime dianggap lebih menyeluruh berbanding program Malaysia #QuranTime sebelum ini yang hanya memfokuskan kepada surah pilihan di dalam memberi sokongan dan solusi ke atas isu wabak koronavirus (Covid-19) yang berlaku.

Datuk Hussamuddin Yaacub
Datuk Hussamuddin Yaacub

"My #QuranTime akan bersiaran secara langsung bermula Isnin ini di TV Alhijrah dan live streaming di Facebook TV Alhijrah, Sinar Harian dan QuranHour, setiap hari, antara jam 12 hingga 1 tengah hari.

"Bagi penonton yang terlepas siaran langsung, siaran ulangan sebanyak tiga kali sehari di saluran sama, TV Alhijrah akan ditayangkan dengan semua episod juga boleh ditonton di saluran YouTube QuranHour Channel," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran program televisyen baharu, My #QuranTime merangkumi 604 episod yang akan disiarkan TV AlHijrah setiap hari, antara jam 12 hingga 1 tengah hari, bermula 8 Jun hadapan.

Artikel Berkaitan:

Marhaini berkata, WUIF yang bertanggungjawab ke atas isi program My #QuranTime juga memperkenalkan bahagian penyelidikan dan pembangunan (konten) serta kawalan kualiti bagi memantau pengisian program sebelum dan semasa program berlangsung.

Menurutnya, WUIF turut berharap usaha penelitian terhadap ayat-ayat al-Quran turut didokong dengan kerjasama pakar-pakar al-Quran dan Sunnah terdiri daripada institusi pengajian tinggi (IPT), organisasi dan individu terlibat secara langsung dengan pengkajian ilmu al-Quran dan Sunnah.

"Penyelidikan dan pembangunan merujuk tafsir-tafsir al-Quran yang muktabar dan ulum hadith secara usahasama pelbagai pihak ini merupakan langkah-langkah perlu dilaksanakan agar dapat memberi impak kepada diri, keluarga, organisasi, komuniti, negara dan global.

"Kajian daripada pakar dan ilmuan wajar dikongsikan bagi melahirkan satu resolusi dan 'call to action' supaya al-Quran dapat memberikan implikasi nilai mulia di sudut aqidah, syariat dan akhlak kepada penonton berdasarkan sebab turunnya ayat (asbabun Nuzul) dan dari perumpamaan-perumpamaan dinyatakan al-Quran," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah Namanzee Harris
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah Namanzee Harris

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris menyifatkan program My #QuranTime adalah sangat dekat di hati dan berbeza dengan rancangan sedia ada kerana berkeupayaan menghubung dan menyimpulkan solidariti ummah selain daripada mengangkat kalam suci ALLAH sebagai mukjizat teragung.

"Dalam jangka masa tiga tahun, TV Alhijrah turut bercadang menganjurkan lapangan khusus bagi mempromosi My #QuranTime dan kerjasama dari pihak korporat yang berminat untuk menaja amatlah dialu-alukan," katanya.