World #QuranHour: Kanak-kanak tadika curi tumpuan

Sebahagian daripada rombongan Sekolah Maahad Sains Al-Quran Al Amin, Bandar Sunway
Sebahagian daripada rombongan Sekolah Maahad Sains Al-Quran Al Amin, Bandar Sunway
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sekumpulan kanak-kanak berpakaian seragam sekolah antara peserta yang mencuri tumpuan sempena World #QuranHour kesembilan di Masjid Negara pada Khamis.

Mereka yang terdiri daripada sembilan orang merupakan sebahagian daripada rombongan Sekolah Maahad Sains Al-Quran Al Amin, Bandar Sunway yang hadir sebagai peserta pada program tersebut.

Penolong Kanan sekolah berkenaan, Siti Asiah Abdullah berkata, ini merupakan kali pertama mereka dapat mengimarahkan majlis perdana sempena World #QuranHour setelah hanya berkesempatan menonton siaran secara langsung ketika penganjuran sebelum ini.

Siti Asiah
Siti Asiah

Menurutnya, kanak-kanak berkenaan adalah murid tadika yang datang bersama rombongan pelajar tahfiz lain untuk diberikan pendedahan mengenai kaedah mencintai al-Quran.

"Saya jangkakan kalau bawa anak-anak kecil ni, saya minta mereka bersedia seandainya kami diminta duduk sebelah luar untuk elakkan gangguan... tapi alhamdulillah dapat duduk sama-sama.

"Kita perlu bawa anak-anak walaupun usia kecil, sebab majlis ni penuh keberkatan ada para malaikat bersama kita... jadi kita nakkan keberkatan, bawalah anak-anak kita.

"Mungkin kita tengok mereka tak faham tapi dalam kita tak sedar, ilmu yang dikongsikan kepada peserta dalam majlis ini, sebenarnya sambil mereka main mereka dengar," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Siti Asiah menambah, rombongan Sekolah Maahad Sains Al-Quran Al Amin terdiri daripada 50 peserta termasuk guru pengiring dan mereka hadir menggunakan bas.

Katanya, acara yang berlangsung sebelum cuti sekolah membuatkan pihak sekolah mengambil peluang untuk sama-sama menyertai acara perdana itu.

"Semoga program ini sentiasa dapat dijalankan dan dapat semarakkan rasa cinta al-Quran dan galakkan lebih ramai lagi penyertaan pelajar-pelajar sekolah," katanya.

World #QuranHour kesembilan yang mengangkat tema ‘Ummah #GrandReset: Kesatuan & Transformasi Sosial’ dengan berpandukan surah al-Jumu’ah.

Masjid Negara di sini, dipilih sebagai lokasi perdana bagi penganjuran program interaksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal kali ini.

Program anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) yang dinaungi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tahun ini turut menyaksikan keberangkatan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!