X

Kindly register in order to view this article
!

Tangkap dajal guna IPhone, pemandu lori didakwa

Tertuduh, Muhammad Lokman didakwa di Mahkamah Majistret dan Sesyen Kuala Kangsar atas lima pertuduhan berbeza hari ini.
A
A

KUALA KANGSAR - Tangkap dajal guna IPhone. Itulah alasan 'merepek' seorang pemandu lori yang didakwa atas lima pertuduhan ketika menceroboh Istana Iskandariah di sini bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Lokman Mohamad Termizi, 30, mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen dan Majistret Kuala Kangsar di sini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki sebilah pisau tanpa kebenaran sah dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958.

Bagaimanapun, Hakim Rohaida Ishak memerintahkan tertuduh dihantar menjalani pemeriksaan selama 30 hari di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK) mulai 2 Julai ini.

Sementara itu di Mahkamah Majistret, tertuduh dijatuhkan hukuman penjara 33 bulan selepas mengaku salah atas empat pertuduhan berlainan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan merempuh pintu pagar istana sehingga menyebabkan kerugian RM500 dan menakutkan penjawat awam, Muhd Firdaus Abd Razak dengan mengacukan pistol ke arahnya.

Bagi kedua-dua pertuduhan yang dilakukan mengikut Seksyen 353 dan 427 Kanun Keseksaan itu, Majistret Nurul Asyifa Redzuan menjatuh hukuman penjara masing-masing 12 bulan.

Bagi pertuduhan menceroboh kawasan istana dan memiliki pistol tiruan tanpa lesen, pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara masing tiga bulan dan enam bulan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di pintu pagar dan kawasan anjung Istana Iskandariah antara jam 7.40 pagi hingga 8.15 pagi pada 25 Mei lalu.

Bagi keempat-empat pertuduhan itu, Nurul Asyifa memerintahkan hukuman itu dilaksanakan secara berasingan bermula dari tarikh ditangkap.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hasyutantee Khalil manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Hajar Hamzah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus