X

Kindly register in order to view this article
!

Muhyiddin didakwa guna kedudukan, tawar jawatan demi sokongan

Dari kiri: Chuan How, Shazni dan Abu Hafiz bercakap kepada pemberita sebelum membuat laporan kepada SPRM hari ini.
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa menggunakan kedudukannya dalam kerajaan dengan menawarkan jawatan Menteri dan Pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada ahli Parlimen bagi mendapatkan balasan sokongan.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, perkara itu jelas terkandung di dalam audio yang tular dipercayai membabitkan Muhyiddin dalam mesyuarat pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Perikatan Nasional mengagihkan jawatan ini ala adegan perompak dalam filem Nujum Pak Belalang, jawatan untuk kau, sokongan untuk aku," katanya ketika ditemui pemberita sebelum memasuki bangunan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini sebentar tadi.

Menurutnya, tindakan tersebut telah melanggar Akta SPRM 2009.

"Bukan sahaja salah laku dari aspek perundangan, bahkan dari segi moral dan amat memalukan bangsa Melayu," katanya.

Sehubungan itu, beliau bersama Exco Armada Bersatu, Abu Hafiz Salleh Hudin dan Ketua Pemuda DAP, Lee Chuan How yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji, Perak membuat laporan kepada SPRM berhubung perkara tersebut.

"Kami mahu siasatan dilakukan oleh SPRM terhadap Muhyiddin," katanya.

Ditanya perkara sama telah dilakukan Pakatan Harapan mengagihkan kerusi GLC kepada sekutu ketika mentadbir kerajaan, Shazni enggan mengulas lanjut sebaliknya meminta agar Muhyiddin memberi penjelasan.

"Kita akan tunggu respon daripada Muhyiddin sendiri kerana perkara itu telah dirancang (sebagaimana rakaman audio)," katanya.

Semalam satu rakaman audio berdurasi 2.24 minit dipercayai suara Muhyiddin bersama beberapa pemimpin Bersatu dalam Langkah Sheraton pada 23 Februari lalu merancang menarik seramai mungkin pemimpin UMNO menyertai parti itu tersebar di media sosial.

"Kalau kita ambil seorang seorang, mungkin ada antara mereka (pemimpin UMNO) kalau kita tawarkan jawatan tertentu, apa beza nak sertai Bersatu, apa beza nak kekal dalam UMNO?” soal beliau yang dipetik sebagai berkata dalam rakaman audio itu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!