X

Kindly register in order to view this article
!

Peniaga pasar malam rayu kebenaran beroperasi

Jaafar (tengah) menunjukkan salinan surat permohonan pembukaan pasar malam yang dihantar kepada MKN dan Pejabat Menteri Besar Perak ketika sidang akhbar bersama beberapa persatuan yang lain di sini hari ini.
A
A

IPOH - Beberapa persatuan penjaja dan peniaga pasar malam di bandar raya Ipoh merayu kerajaan mempertimbangkan pembukaan pasar malam di seluruh negara mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Pengerusi Persatuan Penjaja-Penjaja Kecil Melayu dan Pasar Malam Bergerak Bahagian Kinta, Jaafar Uthman berkata, golongan peniaga pasar malam kini berada dalam keadaan amat terdesak kerana kehilangan pendapatan selama tiga bulan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sehingga kini.

Menurutnya, golongan peniaga pasar malam ini merupakan antara kumpulan yang tidak tersenarai untuk menerima bantuan daripada kerajaan kerana tidak layak disebabkan kebanyakan mereka tidak mempunyai daftar syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) malah tidak berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan.

"Kita dah pun hantar surat permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Pejabat Menteri Besar Perak mengenai permohonan untuk membuka semula pasar-pasar malam ini.

"Ramai dalam kalangan kami yang hilang punca pendapatan kerana kebanyakan mereka tiada pendapatan lain selain berniaga di pasar malam. Jadi pertimbangkanlah untuk pasar malam ini dibuka ikut SOP ditetapkan dan kita akan akur," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sebuah restoran di Bercham di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu, Persatuan Penjaja Pasar Pagi dan Pasar Malam Ipoh, Wong Kok Hoe; Pengerusi Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh, Sharul Baha Abdul Rahman dan Timbalan Pengerusi Persatuan Penjaja Kecil Melayu Perkasa Perak, Kamal Razali.

Menurutnya, sebelum ini pendapatan bulanan peniaga pasar malam di antara RM3,000 hingga RM5,000, namun kini mereka hanya bergantung kepada tabungan peribadi yang semakin berkurangan.

Bagi Wong Kok Hoe pula, masalah itu bukan sahaja dihadapi oleh peniaga Melayu sahaja, tetapi membabitkan semua peniaga di seluruh Perak.

Katanya, pihak persatuan dan peniaga bersedia dengan sebarang syarat atau SOP dikeluarkan kerajaan asalkan mereka dapat menjalankan perniagaan seperti biasa.

Jelasnya, semua jenis perniagaan yang mempunyai premis sudah dibenarkan beroperasi dengan pelbagai SOP ditetapkan dan pasar malam juga sepatutnya diberikan kebenaran sama.

Sementara itu, Sharul Baha berkata, pihaknya telah mengemukakan cadangan SOP bagi pasar malam kepada pihak berkaitan untuk dipertimbangkan.

"Antara yang kita cadangkan adalah penjarakkan sosial antara peniaga, pemeriksaan suhu pelanggan, mengehadkan jumlah pelanggan, hanya satu pintu masuk dan keluar, tidak membenarkan kanak-kanak masuk serta lain-lain lagi.

"Kami yakin jika orang ramai sanggup beratur masuk ke pasar atau restoran, perkara sama juga yang mereka akan lakukan apabila ke pasar malam selepas ini. Masyarakat kini sudah pun menerima kebiasaan baharu ini dan rasanya tak ada masalah," katanya.

Beliau berkata, pihak persatuan amat berbesar hati sekiranya dijemput untuk turut serta dalam sebarang perbincangan mengenai SOP dan berkaitan pembukaan pasar malam.

Menurutnya, pembukaan pasar malam dalam kadar segera amat penting dalam memastikan golongan peniaga kecil boleh terus bertahan dan meneruskan pendapatan mereka.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus