Warga maahad tahfiz Perak jalani ujian Covid-19, nyahcemar

Laporan Sinar Harian semalam.
Laporan Sinar Harian semalam.
A
A
A

IPOH - Pelajar dan tenaga pengajar di 116 maahad tahfiz di seluruh Perak telah menjalani ujian saringan koronavirus (Covid-19) sekurang-kurangnya satu kali dan ada yang telah memasuki saringan kali kedua.

Pengerusi Persatuan Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Perak (Pematap), Mohd Azlan Suhaimi berkata, sebahagian besar premis maahad tahfiz juga melalui proses nyahkuman sebagai usaha membendung penularan wabak berkenaan.

"Pada dasarnya, institusi tahfiz terikat dengan undang-undang sedia ada sama ada di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT), bomba dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

"Semua kakitangan, pelajar dan guru telah diwajibkan untuk menjalani saringan Covid-19 dan sehingga kini, tidak ada sebuah maahad tahfiz pun yang beroperasi, jika ada sudah pasti kerajaan membuat pemantauan yang cukup ketat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan seorang wanita ke atas Pondok Tahfiz As Sharif Seri Jaya di Batu Gajah yang dikatakan menjadi punca penularan wabak Covid-19 seperti tular di media sosial.

Pondok tahfiz berkenaan adalah sebuah institusi tahfiz swasta yang dalam proses mendaftar dengan JAIPk.

Mohd Azlan berkata, Pematap memandang serius tuduhan sedemikian kerana boleh mencetuskan kebimbangan masyarakat dan menjejaskan nama baik institusi maahad tahfiz secara keseluruhannya.

Katanya, pengurusan maahad tahfiz di seluruh negeri kini sedang menunggu prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi apabila dibenarkan dibuka semula oleh pihak kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Masyarakat sepatutnya mengamalkan dasar 'tahfiz care' dengan bertindak melakukan pelbagai inisiatif membantu institusi tahfiz khususnya maahad tahfiz setempat.

"Ini penting sebagai usaha bersama untuk melahirkan generasi cemerlang al-Quran," katanya.

Semalam, satu kes baharu melibatkan positif Covid-19 dikesan di Mukim Sungai Terap, Batu Gajah susulan aktiviti saringan bersasar bagi pelajar tahfiz.

Pelajar berkenaan bersama 42 orang kontak rapat telah diarah menjalani kuarantin, namun punca jangkitan masih dalam siasatan.

Pengetua pondok tahfiz berkenaan membuat laporan polis bagi menafikan punca jangkitan berikutan pusat pendidikan itu telah ditutup sejak tiga bulan lalu tanpa kehadiran seorang pelajar.

ARTIKEL BERKAITAN: Pondok tahfiz nafi jadi punca pelajar dijangkiti Covid-19