Covid-19: Malaysia dalam fasa pemulihan terakhir

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia kini dalam fasa pemulihan terakhir susulan kejayaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lepas berhasil mengurangkan penularan kes baharu koronavirus (Covid-19).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pada ketika ini, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula pada 4 Mei lepas turut berjaya menurunkan nilai kebolehjangkitan atau R0 (R-naught) sehingga 0.3 berbanding 0.6 ketika pelaksanaan PKP.

"...jadi dalam kita melihat (kes Covid-19 di Malaysia) kita ada permodelan, kita lihat modelling yang kita gunakan. Waktu sebelum PKP, kita lihat kita punya kebolehjangkitan, R0 itu ialah 3.55, bermakna seseorang itu boleh menjangkiti 3.55 orang, dan apabila kita laksanakan PKP, kita dapat kurangkan R0 sehingga 0.6 dan sekarang ini (semasa PKPB) kita punya R0 0.3.

“Bererti seseorang yang dijangkiti hanya boleh menjangkiti 0.3 orang, jadi ia semakin berkurang dan untuk melihat kepada kes-kes yang akan datang, model ini sedang berjalan dengan baik. Sekarang ini, kita di peringkat pemulihan yang terakhir," katanya ketika temu bual eksklusif bersama Bernama di sini.

R0 merujuk nilai kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak dalam masyarakat, iaitu secara puratanya berapa ramai orang yang boleh dijangkiti oleh kes yang berlaku.

Dalam kaedah permodelan dan ramalan untuk sesuatu wabak, menurunkan nilai R0 kurang daripada angka 1 secara berterusan akan membantu mengakhiri sesuatu wabak.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau situasi semasa negara sepanjang PKPB yang dikuatkuasakan sehingga 9 Jun.

“Sekiranya kes baharu boleh dicapai dalam satu angka untuk tempoh melebihi seminggu berkemungkinan sektor ekonomi akan dibuka 100 peratus, selain sektor sosial dan pendidikan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pengarah Kesihatan itu turut berkongsi data sejak 4 Mei lepas hingga 29 Mei, hampir sebulan PKPB dikuatkuasakan yang menunjukkan hanya kira-kira 200 kes melibatkan rakyat Malaysia daripada 1,800 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan di Malaysia.

"Ini bermakna PKPB itu berjaya, PKP pun berjaya melandaikan lengkungan. Rakyat patuh kepada SOP. Kejayaan ini bukan sebab tanggungjawab atau dilakukan oleh Kementerian Kesihatan dan kerajaan tetapi kejayaan ini kejayaan bersama dengan rakyat sebab rakyat Malaysia patuh kepada SOP,” katanya optimis.

Dr Noor Hisham berkata, selain berdepan kenaikan kes mendadak melibatkan pendatang asing tanpa izin di Depot Tahanan Imigresen, KKM juga menjangkakan kes rentas negeri semasa perayaan Aidilfitri namun beliau berkata, ia mungkin tidak akan tercetus pada kadar yang tinggi dan masih boleh dikawal sekiranya rakyat kekal patuh kepada SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.

“...mungkin kita akan dapat peningkatan kes tapi tidak secara mendadak, jadi kalau rakyat patuh kepada SOP mungkin kita tak dapat gelombang ketiga, kita menunggu sekarang ini, raya dah lepas, mungkin dalam tempoh seminggu, dua minggu kita akan melihat kes (baharu) setiap hari.

"Kalau kes ini masih lagi rata iaitu dua angka dan juga satu angka, tempoh PKPB akan tamat pada 9 Jun. Kita akan lihat bagaimana keadaan kita nanti," katanya.

Setakat semalam, tiada kes kematian berkaitan Covid-19 direkodkan di Malaysia dalam tempoh tujuh hari berturut-turut sejak 23 Mei lepas dengan jumlah kumulatif kes kematian kekal pada 115 kes (1.49 peratus).

Jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sehingga semalam adalah 7,732 kes. - Bernama