PBAPP desak Kedah tolak konsesi balak

Jaseni
Jaseni
A
A
A

GEORGETOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menolak pembukaan semula konsesi pembalakan di Kedah yang dilihat akan memberi kesan buruk kepada hutan di Ulu Muda.

PBAPP juga mendesak kerajaan Kedah menghentikan cadangan membuka semula konsesi pembalakan atau membenarkan syarikat pembalakan melakukan aktiviti itu di Ulu Muda kerana risikonya amat tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Jaseni Maidinsa berkata, pembukaan semula konsesi pembalakan mungkin menyebabkan lebih banyak aktiviti pembasmian di kawasan tadahan air terpenting di wilayah Utara itu.

Menurutnya pembalakan di Ulu Muda akan menjejaskan bekalan air kepada 4.2 juta rakyat di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

"Rakyat di tiga negeri ini memerlukan air yang cukup setiap hari untuk memerangi Covid-19. Laporan menyatakan kerajaan Kedah yang baharu sedang mempertimbangkan untuk membuka semula konsesi pembalakan bagi mengelak pembayaran pampasan satu cadangan yang tidak bertanggungjawab.

"Cadangan itu juga mungkin akan membawa kepada pembalakan di Ulu Muda iaitu kawasan tadahan air terpenting bagi Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Hanya 16 peratus daripada 160,000 hektar hutan hujan di Ulu Muda diklasifikasikan sebagai hutan tadahan air," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Kedah pertimbang teruskan pembalakan di luar Ulu Muda

Tambahnya, 70 peratus air mentah Perlis dan 96 peratus air mentah Kedah berpunca dari Ulu Muda manakala Pulau Pinang pula mengabstrakkan lebih 80 peratus air mentah dari Sungai Muda.

"Kawasan tadahan air untuk Sungai Muda ialah Ulu Muda. November tahun lalu, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) mengesahkan hanya 10.2 peratus Ulu Muda diklasifikasikan sebagai hutan tadahan air. Sebanyak 6.9 peratus diklasifikasikan sebagai taman hutan negeri di bawah Akta Perhutanan Negara1984 (APN 1984).

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, sehingga 82.9 peratus daripada Ulu Muda boleh 'dituai' sebagai hutan pengeluaran.

"Bagaimanapun daripada 'penuaian' di Ulu Muda itu akan menyebabkan krisis air di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Kapasiti empangan yang luar biasa rendah menggambarkan kesan perubahan iklim di Kedah.Mmaka tidak logik bagi kerajaan Kedah bersetuju pembasmian hutan yang akan menjejaskan peranan Ulu Muda," katanya.

Terdahulu, kerajaan Kedah dilaporkan sedia mempertimbangkan membuka kembali konsesi balak bagi mengelak membayar tuntutan hampir RM1 bilion yang dikemukakan syarikat pembalakan sebelum ini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, syarikat terbabit sebelum ini dibatalkan konsesi mereka berikutan keputusan kerajaan negeri mewartakan Ulu Muda sebagai hutan simpan dan kawasan tadahan air.