Kedah pertimbang teruskan pembalakan di luar Ulu Muda

Muhammad Sanusi Md Nor
Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah bersedia mempertimbangkan aktiviti pembalakan diteruskan namun hanya melibatkan kawasan di luar Hutan Simpan Ulu Muda.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, semua aktiviti pembalakan yang akan dibenarkan tertakluk pada peraturan sedia ada yang dikuatkuasakan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, hanya kawasan yang digazetkan sebagai kawasan hutan pengeluaran boleh diusahahasil dibenarkan untuk aktiviti pembalakan susulan ia menyumbang kepada hasil negeri.

“Selagi pembalakan itu patuhi peraturan berkenaan kita akan benarkan namun kita tidak kompromi jika ia melibatkan kawasan sensitif seperti berdekatan empangan, tasik atau berpotensi cemari alam sekitar dan ganggu gugat kawasan perumahan,” katanya pada sesi temubual di pejabat Menteri Besar di sini hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, walaupun pembalakan antara penyumbang kepada pendapatan negeri namun pihaknya akan sentiasa memastikan kawasan tadahan air tidak diganggu.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang telah meluluskan penambahan kawasan baharu yang digazet sebagai taman negeri,” katanya.

Sebelum ini, Mukhriz mengumumkan untuk menambah keluasan kawasan tadahan air di Hutan Simpan Ulu Muda seluas 83,753 ekar menjadikan keseluruhan kawasan tadahan air di kawasan itu kepada 123,855 ekar.

Selain itu, kerajaan juga akan mewartakan kawasan seluas 20,240 ekar di Hutan Simpan Bukit Saiong, Sik sebagai kawasan tadahan air selain mengekalkan warisan hutan semula jadi dengan mewujudkan sebuah taman negeri di Hutan Simpan Ulu Muda sebagai pusat pembelajaran dan penyelidikan.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Sanusi berkata, dasar yang baik dipelopori kerajaan terdahulu akan diteruskan selagi bermanfaat untuk rakyat dan negeri.

“Kita sokong dasar pemuliharaan alam sekitar. Malah dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) peruntukan besar diberikan kepada aspek ini. Dunia sedang bergerak ke arah itu kerana sudah banyak kerosakan bumi dilakukan oleh industri, ekonomi perlu diubah untuk pelihara alam sekitar,” katanya.

Mengulas mengenai tuntutan Persatuan Perkayuan Negeri Kedah (PPNK) berhubung pembatalan konsesi pembalakan oleh kerajaan terdahulu yang mencecah lebih RM1 bilion, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya akan meneliti semula untuk mencari penyelesaian terbaik.

“Tuntutan berkenaan agak tinggi, melibatkan 40 konsesi yang dibatalkan. Kita tak mampu tunaikan tuntutan sebanyak itu, mungkin kita boleh gantikan dengan kawasan pembalakan yang sesuai, pada masa sama patuhi peraturan.

"Itu tanggungjawab kerajaan negeri, saya tak boleh lari dari keputusan kerajaan terdahulu. Kita terikat pada undang-undang, difahamkan mereka sudah bayar premium tetapi tidak benar menebang, ini tidak adil buat mereka,” katanya.

Katanya, walaupun perkara itu akan dinilai semula namun kepentingan orang ramai akan diberi keutamaan.