Mahathir kongsi pandangan usaha perangi rasuah

Tun Dr Mahathir Mohamad - Foto Bernama
Tun Dr Mahathir Mohamad - Foto Bernama
A
A
A

VIENNA – Tun Dr Mahathir Mohamad akan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang pertama untuk memperkongsikan kaedah dengan masyarakat antarabangsa mengenai usaha Malaysia memerangi rasuah semasa lawatan kerja beliau ke Austria terutama menghadiri Persidangan Agung dan Mesyuarat Tahunan ke-10 Pertubuhan Pihak Berkuasa Anti Rasuah Antarabangsa (IAACA) Selasa ini.

Perdana Menteri akan menyampaikan ucaptama pada persidangan ini bertemakan "15 tahun Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu memerangi Rasuah, Pencapaian dan Prospek".

Dr Mahathir juga dijadual menyampaikan syarahan bertajuk "Memerangi Rasuah di Malaysia: Pencapaian, Cabaran dan Perspektif” yang dianjurkan oleh International Anti-Corruption Academy (IACA) di sini.

Duta dan Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu, Datuk Ganeson Sivagurunathan berkata, persidangan ini menghimpunkan pemimpin politik, termasuk ketua kerajaan dan agensi anti rasuah serta pengamal rantau di seluruh dunia untuk bertukar-tukar pandangan mengenai langkah-langkah mencegah dan memerangi rasuah, menyokong kerjasama antarabangsa dan bantuan teknikal serta memupuk integriti, kebertanggungjawaban dan pengurusan hal ehwal awam secara sempurna.

Ganeson berkata, ucaptama itu menandakan penampilan pertama Tun Dr Mahathir pada Persidangan Antarabangsa Vienna (VIC) di Vienna. Kali terakhir beliau melakukan lawatan ke Vienna ialah pada 1985.

"Dalam hal ini, IAACA berfungsi sebagai platform yang ideal untuk perdana menteri menonjolkan usaha dan komitmen Kerajaan Malaysia dalam usaha memerangi rasuah dengan pandangan untuk menggambarkan imej positif Malaysia sebagai negara yang menegakkan kedaulatan undang-undang, integriti dan kebertanggungjawaban dengan sepenuhnya, "katanya.

IAACA adalah sebuah organisasi bukan kerajaan yang ditubuhkan bertujuan untuk mempromosikan pelaksanaan Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu Memerangi Rasuah secara efektif dan untuk membantu pihak berkuasa anti rasuah dalam usaha global membanteras rasuah.

Pada Mei 2016, Peguam Negara Qatar, Dr Ali Fetais Al Marri menjadi presiden IAACA.

Dr Ganeson berkata pada 21 Januari, Dr Mahathir, dalam lawatan pertama beliau ke Austria sejak Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan pada 9 Mei 2018, akan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Austria, Canselor Sebastian Kurz, pemimpin paling muda di dunia pada usia 32 tahun, dan Presiden Austria Alexander Van der Bellen.

Artikel Berkaitan:

Semasa pertemuan itu, mereka dijangka bertukar-tukar pandangan usaha mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Austria khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan. pendidikan, sains dan teknologi dan pelancongan, serta isu-isu serantau dan antarabangsa demi kepentingan bersama.

"Presiden Austria itu menanti-nanti untuk bertemu Tun (Dr Mahathir) dan sangat berminat untuk mempelajari dari Malaysia berkaitan hubungan kita dengan China.

"Dari maklum balas, para Duta Eropah teruja dengan peralihan kerajaan daripada kerajaan terdahulu di Malaysia dan menyatakan bahawa negara kita adalah model negara-negara membangun. Banyak negara memandang tinggi kepada Malaysia dan berminat untuk mempelajari daripada kita. Ini sangat positif bagi Malaysia, " kata Ganeson.

Ganeson berkata di luar lawatan kerja itu, Dr Mahathir akan mengadakan pertemuan dengan masyarakat Perniagaan Austria untuk menonjolkan peluang-peluang perdagangan dan pelaburan yang berpotensi di Malaysia.

Menurut Ganeson yang ditugaskan sejak Februari 2018 ke Austria, kerjasama yang sedia terjalin antara Malaysia dan Austria dapat dilihat dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan dan pelancongan tetapi belum mencapai potensi penuh.

Dalam lawatan itu, Dr Mahathir akan diiringi oleh isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya dan para pegawai kanan kerajaan dari Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar.

Dalam kalangan Kesatuan Eropah (EC), Austria ialah rakan perdagangan Malaysia yang ke-10 terbesar, destinasi eksport ke-17 terbesar dan sumber eskport kelapan terbesar.

Jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Austria bagi tempoh Januari-November 2018 mencecah RM3.09 bilion, peningkatan sebanyak 22 peratus daripada RM2.53 bilion dalam tempoh yang sama pada 2017.

Eksport Malaysia pada 2018 berjumlah RM0.47 bilion sementara import mencatatkan RM2.62 bilion dan jumlah perdagangan sentiasa menguntungkan Austria.

Sehingga Jun 2018, sejumlah 17 projek pembuatan melibatkan penyertaan Austria telah dilaksanakan dengan nilai pelaburan RM53.6 juta dan menjana sebanyak 2,747 peluang pekerjaan. - Bernama