Cuepacs gesa kerajaan semak semula bayaran insentif wilayah

No Image Caption
A
A
A

SIBU - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini menggesa kerajaan menyemak semula bayaran insentif wilayah (BIW) bagi 1.62 juta penjawat awam yang sudah lebih 20 tahun tidak disemak.

Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda berkata, kali terakhir BIW yang melibatkan bayaran pada kadar 25 peratus daripada gaji minimum disemak ialah pada 1996 sedangkan gaji mengalami fasa perubahan pada era 1980-an, 1990-an, awal tahun 2000 hingga sekarang.

“Kami percaya dan yakin kerajaaan hari ini amat memahami kesukaran kehidupan yang dialami penjawat-penjawat awam masa kini apabila kos sara hidup meningkat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Bual Bicara Presiden Cuepacs bersama Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) hari ini.

Menurutnya, apabila gaji minimum penjawat awam kini sudah meningkat RM1,200 kadar BIW semakin menurun malah ada dalam kalangan penjawat awam tidak layak lagi menerima BIW disebabkan gaji sudah tinggi.

Minggu lepas, Azih dilapor meminta kerajaan menyemak semula elaun kos sara hidup (COLA) berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat sekarang dan membebankan penjawat awam di bandar-bandar utama memandangkan kali terakhir ia disemak ialah pada 2012 dengan tambahan RM50.

Sementara itu, Azih berkata, Cuepacs bimbang dengan prestasi dan produktiviti penjawat awam negara ini yang terjejas teruk akibat tahap stres melebihi 30 peratus yang berpunca daripada tekanan kerja.

Katanya, tahap stres tersebut boleh menyebabkan penjawat awam berkenaan mengalami risiko kemurungan jika kerajaan tidak menanganinya pada kadar segera dan secara menyeluruh.

“Kebimbangan kami ialah risiko berlaku kemurungan kepada penjawat awam dan ini menyebabkan ramai memilih untuk bersara lebih awal kerana tidak boleh bertahan lagi berada dalam perkhidmatan mereka sebab rasa tertekan,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Tekanan itu berlaku apabila penjawat awam terpaksa memikul bebanan tugas berlebihan disebabkan tiada pengambilan baharu bagi menggantikan mereka yang bersara atau meninggal dunia. - Bernama